NGO

Setelah Berjaya Dianjurkan, Hari Peradaban Bangsa Melayu 2023 Akan Lebih Gah

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 16 Ogos 2022 – “Saya sangat yakin, satu hari nanti Kerajaan akan mengangkat Hari Peradaban Bangsa Melayu sebagai hari rasmi untuk disambut oleh seluruh rakyat Malaysia secara besar-besaran sebagaimana sambutan Hari Kebangsaan dan seumpamanya. Dengan syarat, kita istiqamah.”

Kenyataan ini dikeluarkan oleh Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Hj Aminuddin Yahaya dalam majlis makan malam apresiasi bagi menyambut kejayaan penganjuran program Hari Peradaban Bangsa Melayu semalam.

Menurut Hj Aminuddin, program itu berjaya dilaksanakan selain mendapat pujian dari pelbagai pihak terutamanya pihak polis dan media-media termasuk media antarabangsa.

“Sebenarnya, ada pihak yang takut jika orang Melayu berbangga dengan sejarah dan tamadun silamnya sekali gus mahu orang Melayu terus rasa kerdil,” katanya lagi melalui satu kenyataan di Facebook.

“Walau ada ramai pihak yang cuba menggagalkan program ini dengan pelbagai cara, sama ada gangguan birokrasi, sekatan-sekatan dan segala jenis fitnah media yang bertali arus berjaya kita harungi.”

Kata Aminuddin, program itu juga berjaya berjaya menyatukan NGO-NGO masyarakat sivil, pertubuhan-pertubuhan silat dan budaya serta pertubuhan-pertubuhan para asatizah.

“Mereka yang enggan beri kerjasama dahulu, kini datang ingin menghulurkan tangan pula. Alhamdulillah.”

“Dalam ucapan saya malam ini, saya mengingatkan para hadirin bahawa saya terharu, masing-masing teruja untuk membuat persediaan bagi Hari Peradaban Bangsa Melayu kali ke-2 pada tahun 2023 nanti. Insya Allah, kita akan memperbesarkan jawatankuasa penganjur ini nanti,” katanya lagi.

Hari Peradaban Bangsa Melayu anjuran PEMBELA itu diadakan di Stadium KLFA, Desa Melawati, Kuala Lumpur pada 30 Julai baru-baru ini.

Ia merupakan sebuah festival yang julung-julung kalinya diadakan secara khusus untuk mempamerkan sejarah dan kebudayaan masyarakat Melayu secara besar-besaran dengan penuh keizzahan.

Festival ini melibatkan ‘perpaduan’ ratusan NGO dari pelbagai latar belakang seperti persilatan, kesenian, busana dan lain-lain lagi.

Leave a Reply

Back to top button