Tempatan

Seruan Bunuh Muslim India, MAPIM Gesa Pemimpin Islam Dunia Bersuara

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 23 Januari 2022 – Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Azmi Abdul Hamid menyeru seluruh pemimpin Islam dunia menyuarakan pendirian menentang kenyataan yang mengancam nyawa umat Islam di India.

MAPIM sendiri dalam kenyataan, membantah sekeras-kerasnya kempen kebencian beramai-ramai oleh kumpulan nasionalis dalam kalangan penyebar ideologi Hindutva yang menyasarkan umat Islam dan mendesak kempen tersebut dihentikan serta-merta.

Azmi Abdul Hamid turut menyatakan keperluan untuk pemimpin agama India sendiri mengeluarkan kenyataan membantah seruan pembersihan etnik oleh kumpulan yang mempunyai kaitan rapat dengan kerajaan Perdana Menteri India, Narendra Modi.

“Pemimpin agama India perlu mengeluarkan kenyataan bersama untuk menolak mesej kempen kebencian antara agama kepada masyarakat India.”

Selain itu, MAPIM juga memohon Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk kempen kebencian ini dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menekan India daripada melaksanakan dasar anti-Muslim.

Bahkan, ulama Islam perlu berganding bahu dengan pemimpin bukan Islam menentang dasar perkauman terhadap minoriti Islam di India, tegas Azmi Abdul Hamid.

MAPIM juga menyeru masjid-masjid sedunia mengadakan solat dan khutbah khas pada hari Jumaat dengan menyentuh mengenai perkara ini.

Tambah Azmi Abdul Hamid, beliau bersama wakil-wakil lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah mengemukakan surat bantahan dan memorandum desakan kepada Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, BN Reddy untuk dimajukan kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi supaya menghentikan kempen kebencian terhadap umat Islam dan minoriti di negara itu.

Disember lalu, para sami dan pemimpin kumpulan yang mempunyai kaitan rapat dengan kerajaan Narendra Modi menyeru supaya pembersihan etnik dilancarkan di India, terutamanya terhadap umat Islam di India.

Seruan untuk membunuh dan menyerang tempat ibadat golongan minoriti itu dilaungkan oleh beberapa penceramah dalam sebuah sidang kemuncak yang berlangsung selama tiga hari dari 17 sehingga 19 Disember 2021 di bandar Haridwar anjuran Yati Narsinghanand, tokoh Hindutva yang penuh kontroversi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: