Tempatan

Seri Paduka Baginda Dijadualkan Pulang Bersemayam Hujung Minggu Ini

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 24 Jun 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara pada hujung minggu ini setelah selesai menjalani rawatan pemantauan dan pengawasan rapi pakar perubatan.

Menurut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Dato’ Indera Ahmad Fadil bin Shamsuddin, Seri Paduka Baginda telah menjalani prosedur intervensi sendi buku lali dan lutut Baginda dengan jayanya pada Isnin lalu, 20 Jun 2022 dan kini berada dalam keadaan stabil serta tidak membimbangkan.

Ekoran daripada prosedur intervensi tersebut, Seri Paduka Baginda telah selanjutnya dinasihatkan untuk menjalani pemantauan dan pengawasan rapi dan dijadualkan pulang ke Istana Negara hujung minggu ini.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang telah mendoakan kesejahteraan Baginda.

Seterusnya, Seri Paduka Baginda selaku Ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan, telah berkenan meluangkan masa menzahirkan ucapan tahniah kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atas pelancaran Pelan Strategik MAIWP 2021-2025 dan Manfaat Kewangan Asnaf yang berlangsung semalam menerusi rakaman video di kamar istirahat Baginda di hospital.

Baginda dijadualkan berangkat untuk menyempurnakan majlis pelancaran tersebut namun keadaan Baginda tidak mengizinkan berikutan kegeringan dan telah menjalani rawatan dan pemantauan.

Seri Paduka Baginda juga menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia serta pengendali satelit utama negara, Measat Global Berhad (MEASAT), atas kejayaan pelancaran Satelit MEASAT-3d semalam.

Ianya amat bermakna khususnya buat rakyat Malaysia apabila rakyat dapat menikmati internet berkelajuan tinggi tidak kira di kawasan bandar dan pinggir bandar atau pedalaman di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak menerusi perkhidmatan jalur lebar satelit, titah Baginda menzahirkan rasa sukacita.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: