Antarabangsa

Serangan Terhadap Penganut Kristian Di India

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ISNIN, 28 Mac 2022 – Isu diskriminasi dan keganasan di India bukan hanya dilakukan terhadap orang Islam, malahan penganut agama Kristian di India juga menghadapi cabaran getir dalam kehidupan seharian mereka apabila diperlakukan dengan kejam oleh pelampau nasionalis Hindu.

Di India, penganut agama Kristian menghadapi situasi di mana mereka bukan sahaja diganggu, ditangkap, dipukul, dirogol bahkan juga dibunuh oleh kumpulan perusuh yang juga merupakan kelompok pengganas Hindutva.

Menurut satu laporan yang diterbitkan oleh sebuah organisasi antarabangsa, Open Doors, perbuatan ganas yang dilakukan terhadap kelompok Kristian minoriti di India itu amat melampau dan ia sebenarnya adalah sebuah tindakan bersistematik yang dirancang dengan rapi.

Dapatan kajian kes yang dijalankan oleh London School of Economics and Political Sciences itu menyatakan, kelompok Kristian minoriti di India bukan sahaja berdepan dengan serangan fizikal, bahkan harta dan kenderaan mereka juga turut menjadi sasaran penyerang.

Berikut merupakan antara kajian-kajian kes yang didedahkan oleh laporan Open Doors:

Seorang paderi, diserang oleh 20 ke 30 orang perusuh Hindutva semasa sedang menjalankan upacara peribadatan bersama jemaahnya di Ramnagara. Kelompok perusuh itu kemudiannya mengunci jemaah tersebut dari dalam premis dan menyerang mereka. Turut diserang adalah seorang anak paderi tersebut yang baru berusia 13 tahun. Sejak insiden itu, keluarga pastor tersebut terus diganggu oleh kelompok perusuh yang sama.

Di Malkangiri, sekumpulan perusuh sekitar 200 ke 250 orang dari tiga buah kampung berbeza telah menyerang sebuah keluarga Kristian yang sedang menjalankan upacara ibadat di kediaman mereka. Seluruh ahli keluarga termasuk orang tua dan kanak-kanak dipukul dengan dahsyat dalam kejadian tersebut.

Dalam satu peristiwa yang lain, seorang wanita Kristian dari etnik Adivasi telah diserang oleh sekumpulan 25 ke 30 orang lelaki. Kumpulan perusuh tersebut menceroboh masuk ke dalam kediaman wanita tersebut di Madhya Pradesh ketika beliau dan ahli keluarganya sedang melakukan persediaan bagi menyambut tahun baru. Dalam serangan tersebut, wanita yang sedang mengandung itu telah ditendang di bahagian perut sehingga menyebabkan janinnya terkeluar dari kandungan.

Di Jharkand pula, seorang lelaki tempatan telah dipukul oleh anggota polis dan ditinggalkan sehingga mati. Menurut laporan, polis tempatan telah meninggalkan lelaki tersebut setelah teruk dipukul di balai polis berhampiran dan dibiarkan mati di sana.

Laporan yang sama menyebutkan bahawa insiden serangan turut melibatkan pembakaran dan pemusnahan gereja serta kitab-kitab suci agama Kristian.

Antara faktor yang menyebabkan peningkatan pencerobohan dan serangan terhadap kelompok Kristian India adalah berikutan kedudukan dan kekuatan politik yang dimiliki oleh kelompok Hindutva yang rata-ratanya terdiri dari ahli Bharatiya Janata Party yang memperjuangkan politik majoriti jalur keras Hindu.

Sebagai contoh, Ketua Menteri Uttar Pradesh, Ajay Bisht (yang juga dikenali sebagai Yogi Adityanath) telah berjaya memperkuatkan kuasa politiknya dengan mempromosikan ideologi “hardline majoritian politics”. Kuasa dominan yang dimiliki oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi juga menjadi faktor penyumbang yang signifikan terhadap insiden-insiden keganasan yang berlaku di India.

Seperti yang dilaporkan oleh Open Doors, mereka yang memegang jawatan sebagai pegawai pentadbir, hakim mahkamah rendah, pegawai polis dan kakitangan awam sering menyalahgunakan peruntukan undang-undang untuk mengganggu gugat kumpulan minoriti agama di India.

Oleh yang demikian, pengadilan mengenai penangkapan, pencerobohan, serangan dan pembunuhan yang berlaku terhadap kelompok Kristian minoriti India ini kebiasaannya tidak akan berpihak kepada mangsa kerana pakatan dan manipulasi peruntukan undang-undang yang dilakukan oleh perusuh dan pegawai serta ahli politik kerajaan.

Selain daripada serangan berbentuk fizikal, kelompok Kristian minoriti India juga berdepan dengan diskriminasi dan pemulauan serta ugutan yang menghalang mereka daripada mendapatkan keadilan dan pampasan terhadap harta benda mereka yang telah dimusnahkan oleh para pelampau Hindutva.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: