Serangan Kepada Umat Islam Di Malaysia Dilakukan Secara Halus Melalui SUHAKAM – Muhamad Hisham bin Marzuki
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 14 Disember 2021 – “Serangan kepada umat Islam di Malaysia dilakukan secara halus melalui SUHAKAM yang lebih terlindung melalui suatu badan di bawah akta kerajaan,” ujar Timbalan Presiden, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham bin Marzuki.
Menurutnya, hal ini kerana wujudnya golongan-golongan liberal yang mengemudi dan berada dalam lantikan SUHAKAM itu.
Maka, tidak hairanlah hanya bab LGBT dan naratif songsang sahaja yang akan menjadi agenda perjuangan mereka.
Sebab itu sekarang, ramai pihak sedang mempertikaikan apakah fungsi sebenarnya SUHAKAM dan Pesuruhjaya yang ada sekarang.
Justeru, sudah semestinya SUHAKAM ini harus dibersihkan dan diselidiki agenda sebenar mereka agar tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada negara.
Tambah beliau, timbul soal pemilihan isu yang diperjuangkan oleh SUHAKAM kerana suruhanjaya itu diterajui oleh pihak yang tidak jelas dengan matlamat kewujudan SUHAKAM sendiri.
“Sebab itu isu seperti rider foodpanda ditindas, pekerja kena buka tudung, kena belasah sebab puasa, pekerja dipaksa menjual arak, dipecat kerana solat yang sedang berlaku sekarang, SUHAKAM seolah kelu.”
Ujar Muhamad Hisham, fungsi sebenar SUHAKAM ada dinyatakan dalam Seksyen 4 Akta SUHAKAM antara lain menasihati kerajaan di dalam merumus undang-undang berkenaan Hak Asasi Manusia (HAM) dan mengesyorkan langkah-langkah perlu.
Selain menasihati kerajaan untuk mendatangani writ antarabangsa yang sesuai di Malaysia, terdapat juga lain-lain peranan yang ada dinyatakan dalam Seksyen 4.
“Menjadi kemestian, pesuruhjaya sekarang perlu membawa acuan SUHAKAM mengikut Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau.
Justeru, amalan memperjuangkan naratif songsang ini sudah tentu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, Prinsip Rukunegara, Undang-Undang Syariah dan Undang-Undang Sivil.
“Sebenarnya, pertubuhan SUHAKAM itu tidak salah kerana kewujudannya adalah penting untuk memperjuang HAM di Malaysia yang berkaitan dengan pendidikan, pekerjaan, kemiskinan dan lain-lain.”
“Bagaimanapun , yang perlu diubah adalah komposisi ahli dan pesuruhjaya yang dilantik menerajui SUHAKAM itu.”
Maka, apa yang boleh disarankan ialah, kuasa rakyat sangat diperlukan untuk mendesak kerajaan supaya menyemak semula fungsi dan peranan SUHAKAM ini, kerana hari ini ia bukanlah pertubuhan yang mempertahankan hak asasi seluruh manusia, melainkan hanya hak asasi LGBT dan golongan songsang semata-mata, tegas beliau.