Serangan Harimau: Penduduk Berkawal Guna Lembing, Sumpit
GUA MUSANG, 14 OKTOBER 2023 – Penduduk Kampung Perwer, Kampung Sugi, Kampung Betar A dan Kampung Kalai dikatakan berkawal setiap malam secara bergilir-gilir seminggu selepas kejadian harimau membaham seorang pemuda di Pos Pasik.
Menurut Mohd Sani Nahtiman Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), ini adalah usaha yang dilakukan bagi menjaga keselamatan daripada gangguan harimau.
Dimaklumkan, seorang lelaki Orang Asli, Pisie Amud maut dipercayai dibaham harimau ketika keluar menyumpit dekat Pos Pasik. Ia ditemui dengan kesan cakaran haiwan tersebut.
Sani turut memaklumkan, seramai 10 orang akan bergilir-gilir menjaga kawasan kampung menggunakan sumpit dan lembing sejak Khamis lalu.
Menurutnya lagi, Pos Pasik yang menempatkan hampir 300 keluarga kini tinggal dalam ketakutan dan sudah seminggu tidak keluar bekerja di ladang atau mencari hasil hutan. Jika ada urusan di luar, mereka akan bergerak secara berkumpulan.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan turut memasang perangkap bagi menangkap harimau belang itu yang dipercayai masih berkeliaran di pos Orang Asli itu dan menmpatkan anggotanya untuk berkawal dan menjejaki harimau belang itu.