Serangan Drone US Bunuh 7 Kanak-Kanak Afghanistan
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KABUL, 03 September 2021 – Keluarga Ahmadi dan Nejrabi telah siap berkemas, sedang bersedia menunggu mesej untuk diiringi ke lapangan terbang Kabul untuk berhijrah ke Amerika Syarikat. Namun mesej yang dihantar oleh Washington merupakan serangan roket yang meledak di rumah mereka.
Serangan yang kononnya Amerika Syarikat tujukan pada pejuang ISIS-K itu telah meragut nyawa 10 orang ahli keluarga itu, 7 darinya adalah kanak-kanak, lapor portal Al-Jazeera.
Aimal Ahmadi, bapa saudara kepada 7 orang kanak-kanak itu hampir hilang akal kerana terpaksa mengutip cebisan daging dan anggota tubuh mereka dengan tangannya sendiri.
“Mereka anak-anak yang tidak berdaya, mereka tidak bersalah,” keluh Aimal Ahmadi mengingatkan mengenai nasib anak-anak saudaranya, yang paling kecil Malika, berusia 2 tahun.
Kematian ahli keluarganya langsung tidak mendapat simpati masyarakat antarabangsa melainkan kecaman demi kecaman memandangkan media antarabangsa telah melabelkan serangan Amerika Syarikat itu sebagai serangan untuk membunuh suspek pengganas.
Jiran-jiran Aimal menceritakan kepada wartawan, kanak-kanak kecil lelaki dan perempuan itu sedang leka bermain sebelum tubuh mereka bersepai kerana ledakan serangan bom Amerika Syarikat itu.
Daging mereka tersangkut di rekahan-rekahan dinding, serpihan tulang mereka tercampak ke semak-semak berhampiran, dan dinding melekit dengan darah merah membeku. Serpihan gelas dan kaca berteraburan.
Dengan keadaan sebak, seorang daripada jiran bercerita mengenai Farzad, anak lelaki yang paling kecil terkorban, “Kami cuma dapat jumpa potongan kakinya.”