Tempatan

Serang Pondok: Kekhuatiran Pihak Barat Dan Pro Sekular Yang Tidak Ingin Lihat Kebangkitan Islam – Ustaz Alauddin Ishak

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

GOMBAK, 09 Ogos 2022 – Gerakan dan institusi-institusi agama sejak peristiwa 9 September 2001 memang sering cuba dikaitkan dengan terorisma kerana kekhuatiran pihak barat dan pro sekular yang tidak ingin lihat kebangkitan Islam,” ujar Pengasas Maahad Tahfiz Al Quran Qasimul Ulum (MATAQU), Ustaz Alauddin Ishak.

Menurutnya, mana-mana gerakan, institusi bahkan tokoh agama yang sudah mula mendapat sokongan dan pengikut yang ramai, pasti akan dipantau aktiviti mereka bahkan dikaitkan dengan ekstremisme untuk mengekang perkembangan mereka.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan benarkah seperti yang didakwa sekolah pondok sedang menyebarkan fahaman ekstremisme?

Ustaz Alauddin turut mempersoalkan pihak-pihak yang mendakwa bahawa sekolah pondok menjadi medium penyebaran ekstremisme ini sebenarnya berdasarkan sumber apa? Adakah terdapat institusi pondok sedang disiasat oleh Interpol atau Bukit Aman?

Jelas beliau, sehingga kini institusi pondok masih bebas dari banyak pengaruh sekular dan campur tangan politik.

Jelasnya, apa yang umum mesti ketahui ialah warga pondok sukar untuk dibeli sokongan mereka dengan wang atau jawatan kerana itu memang menjadi sebahagian dari fitnah dunia yang harus dijauhi sesuai dengan penerapan tasawuf dan tarekat kuat yang masih dikekalkan di semua pondok dalam negara ini.

Tambah beliau, sebagai institusi yang memperjuangkan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah yakni mazhab akidah Asya’irah wal Maturidiyah, fekah mazhab Syafie dan pengamalan tasawuf, maka institusi pondoklah yang diharapkan untuk menjadi benteng pertahanan kemurniaan Islam dalam tanah air kita. Umat Islam hendaklah mempertahankan dan membantu memperkasakan institusi-institusi pondok dalam negara.

Menjawab persoalan apakah yang dimaksudkan dengan kefahaman militan beliau berkata, sebenarnya tiada jihad yang bermotifkan militan atau ekstremisme.

“Kita jangan terbawa-bawa dengan mainan propaganda barat yang cuba mengaitkan jihad untuk menaikkan jati diri dan sifat memperjuangkan agama dan mempertahankan kedaulatan tanah air dengan gerakan militan dan ekstremisme.

“Adakah latihan silat, kawad, berkuda , memanah yang nak bermatlamatkan sedemikian yang dikatakan militan? Kalau begitu apa bezanya dengan latihan kadet tentera atau PALAPES, seni bela diri di sekolah-sekolah dan di institusi-institusi pengajian awam? Kenapa perlu ada double standard?” soalnya.

Tambah beliau, kefahaman ekstremisme atau militan sebenarnya boleh muncul di mana-mana khususnya jika pengajian dan aplikasi ilmu akidah yang benar tidak diberikan penekanan yang kuat.

Ustaz Alauddin Ishak berkata, kajian Bukit Aman menyatakan bahawa kebanyakan fahaman militan ini berpunca kerana pengaruh daripada ideologi salafi takfiri yang banyak memetik kefahaman Ibnu Taimiyyah sebagai sumber rujukan mereka.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: