Serang Kereta Jemaah Masjid, Lelaki Ditahan Bawah Akta Kesihatan Mental
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
ENGLAND, 22 Julai 2022 – Seorang lelaki berusia 21 tahun dilaporkan membuat kekecohan di sebuah masjid Southampton dengan merosakkan kereta-kereta jemaah dan menyerang orang ramai secara rawak.
Lapor akhbar tempatan Daily Echo, seorang saksi berkata dia melihat seorang lelaki memasuki Pusat Islam Umar Al-Farooq yang terletak di Derby Road, kemudian segera menyerang pengawal keselamatan di situ dan memusnahkan sejumlah kereta yang diletakkan di kawasan itu.
“Seorang lelaki datang dan mula memecahkan cermin kereta. Apabila disedari oleh penjaga masjid, lelaki itu diarahkan berhenti. Namun, lelaki tersebut bertindak menyerang penjaga masjid itu menggunakan kunci mangga di tangannya.”
“Dia kemudian keluar ke jalan dan cuba menyerang seorang lelaki yang berada di dalam kereta. Dia juga memecahkan cermin kereta lain,” kata Matt Stickland, pekerja kedai membaiki kereta yang terletak bertentangan dengan masjid berkenaan.
Tambahnya lagi, tiga orang yang melihat tindakan lelaki itu kemudian bergegas meredakan keadaan dan mengikatnya dengan pagar di luar masjid.
Menurutnya, pihak polis kemudiannya tiba setelah mendapat laporan dan melakukan penyiasatan sepanjang petang dan meninggalkan kawasan kejadian pada keesokan paginya.
Pihak polis mengesahkan, seorang lelaki cedera di kepala dan muka dalam kejadian tersebut dan telah mendapatkan rawatan di hospital.
Kes masih disiasat dan lelaki berkenaan telah ditahan di bawah Akta Kesihatan Mental.