Serahan Memo Bantahan NGO, Wakil Kedutaan India Malaysia “Sembunyi Belakang Pintu”?
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 10 Jun 2022 – Serahan Memorandum Bantahan Kepada Kedutaan India di Malaysia oleh Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), UMMAH dan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) tetap diteruskan walaupun tiada wakil Kedutaan India keluar untuk menerima serahan memorandum tersebut.
Serahan Memorandum Bantahan itu dibuat selepas seorang pemimpin parti Bharatiya Janata Party (BJP), Nupur Sharma mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad S.A.W. yang membangkitkan kemarahan dunia terutama umat Islam.
Sebelum itu, satu himpunan membantah penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W. juga diadakan selepas selesai solat Jumaat, bertempat di hadapan bangunan Kedutaan India di Malaysia, Wisma HRIH Lotus, Jalan Pahang, Kuala Lumpur.
Lebih kurang kira-kira 100 wakil kepimpinan NGO-NGO Islam menyertai himpunan membantah penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W. itu.
Antara wakil-wakil NGO yang hadir adalah, Pengerusi PEMBELA Hj Aminuddin Yahaya, Naib Pengerusi PEMBELA/Presiden PERKID Ustaz Masridzi Sat, Kamaruzzaman Mohamad PEMBELA, Saudara Muhammad dari Persatuan Pemuda India Muslim Malaysia, Izzuddin Gamis, Mejar Meor, Ustaz Azhar dari Majlis Amal Islami Malaysia, Shahbudin Dari Majlis Rundingan Melayu, Zulkifli Wahijan dan Dato Ibrahim Ali.
Manakala, wakil-wakil parti politik yang turut hadir iaitu, Nazir Helmi wakil dari Pemuda Pas, Exco Pemuda Umno Malaysia Ustaz Afiq dan YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia.
Himpunan tersebut berakhir pada pukul 3.30 petang dengan aman. Walau bagaimanapun, wakil NGO yang terlibat dengan serahan memorandum tersebut merakamkan perasaan kecewa dengan sikap pejabat kedutaan India yang menutup pintu dan tidak meraikan hak kebebasan bersuara seperti yang dilaungkan mereka selama ini.