Tempatan

Seorang Maut, 2 Cedera, Saluran Paip Petronas Meletup Di Sarawak

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

LAWAS, 17 November 2022 – Seorang maut manakala dua lagi pekerja cedera melecur selepas paip gas Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP) meletup di Long Ugui petang semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa yang terkorban dikenali sebagai Hadi Wiyono manakala yang cedera Hendrick dan Gabriel Meripa.

Selain itu, empat kenderaan yang berada di sekitar lokasi kejadian terbakar.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian tersebut sekitar pukul 2.49 petang Rabu.

Setibanya di lokasi, PGO mendapati berlakunya kebakaran melibatkan gas ‘pipe line’ milik Sabah Sarawak Gas Pipeline (SSGP) telah menyebabkan letupan berkeluasan radius 400 meter.

“Akibat kebakaran dan letupan itu, sebuah motosikal terbakar 50 peratus, sebuah ‘excavator’ musnah terbakar sepenuhnya, diikuti sebuah ‘bulldozer’ dan lori terbakar 30 peratus.”

PETRONAS mengesahkan insiden kebakaran yang berlaku melibatkan Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) berhampiran KP 132 di Lawas, Sarawak, susulan kejadian.

“Insiden dipercayai berpunca daripada kerja-kerja yang dijalankan oleh pihak ketiga berdekatan kawasan izinlalu (Right-of-Way) SSGP dan kerja-kerja tersebut tiada kaitan dengan operasi saluran paip tersebut. Laporan polis telah dibuat dan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan,” kata PETRONAS dalam satu kenyataan media.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: