SENGAJA TULAR DI MEDSOS BERERTI MENCABAR PERLEMBAGAAN NEGARA
Kecoh beberapa hari yang lalu isu berkenaan seorang warga Malaysia yang mempersendakan tentang Islam dalam Perlembagaan. Namun, seperti yang kita semua sedia maklum, bahawa ini bukanlah kali pertama dan ia juga bukanlah satu perkara yang baharu dalam sejarah negara. Sudah ramai yang melakukan perbuatan tersebut termasuk segelintir umat Islam sendiri yang terlalu liberal pemikiran mereka serta jahil berkenaan Islam dengan sengaja menularkan video yang boleh memecahkan perpaduan rakyat.
2. Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa “Islam sebagai AGAMA PERSEKUTUAN” dengan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu pada 25 Ogos 1957 yang juga terkenal sebagai “7 Wasiat Raja-Raja Melayu”. Sejarah perundangan Kerajaan Negeri-Negeri Melayu yang wujud jauh lebih lama sebelum Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mempunyai mesej yang sangat mendalam dan sentimental bagi orang Islam dan Melayu.
3. Wujudnya Kanun Melayu Melaka, Undang-Undang Laut Melaka, Undang-Undang 99 Perak, perundangan di Kedah, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor adalah bukti kewujudan peradaban Islam berupa sebuah kerajaan yang menjunjung Syariah sebagai Law of the Land di Negeri-Negeri tersebut.
4. Berikutan itu, pihak penguatkuasa Agama Negeri sering memantau dan membuat tangkapan atas kesalahan syar’ie mana-mana warga ke atas Enakmen Syariah Negeri seperti kes-kes khalwat, minum arak, penghinaan terhadap Agama Islam atau pun kesalahan media cetak seperti kes pengharaman penerbitan buku atau penulisan menghina Islam seperti kes Sisters in Islam sebelum ini dan juga kes Siti Kassim atau Wan Ji.
5. Video kes warga Malaysia beragama Hindu yang dengan bangganya menyatakan proses memurtadkan orang Islam boleh dilakukan dengan begitu mudah, amat jelas tindakannya itu membuat provokasi dan mencabar Enakmen Syariah Negeri mahupun Perlembagaan, dan perlakuannya itu boleh mengundang reaksi negatif dari umat Islam dalam negara. Dan jika tidak dikawal boleh juga merebak menjadi punca rusuhan antara kaum.
6. Meskipun pada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan; “….agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai (bukan “secara bebas”) dalam mana-mana Bahagian Persekutuan”, di sini jelas ada kaveat selepas frasa tersebut, iaitu “…. dalam keadaan aman dan damai.” Bukan sembrono kosong tanpa sandaran bahagian tersebut dimasukkan dalam Perlembagaan.
7. Pakar perundangan dan agamawan sering mengulas dengan menyebutkan, frasa itu bermaksud, antaranya ialah: “…walaupun agama lain dibenarkan diamalkan dalam Persekutuan kerana Malaysia adalah negara berbilang kaum (majmuk) yang telah sama-sama menyumbang kepada pembangunan negara, ia juga menekankan bahawa (i) amalan agama lain selain Islam mesti diamalkan dalam keadaan aman dan damai (ii) tidak mengganggu Agama Islam sebagai Agama Persekutuan sebagaimana di awal frasa Perkara 3(1) berkenaan”.
8. Kenyataan ini amat jelas, dan harus difahami dengan betul. Iaitu jika ada warga bukan Islam yang ingin mengahwini seorang warga Islam di dalam Malaysia, pasangan bukan Islam itu adalah diwajibkan supaya ia menukar agamanya kepada Islam terlebih dahulu dan ini adalah peruntukan undang-undang yang sedang ada dan sudahpun berjalan dan sedang berkuatkuasa dalam negara kita.
9. Yang membangkitkan kemarahan umat Islam pada video tersebut ialah kenyataannya dibuat secara sedar apabila beliau menghina Perlembagaan dan Enakmen Syariah Negeri yang boleh dikenakan tindakan perundangan/ mahkamah. Lazimnya semua mengetahui setiap negara ada undang-undangnya tersendiri, mustahil ada negara yang tidak mempunyai sebarang undang-undang.
10. Mana-mana warga yang melanggar undang-undang, apatah lagi video berkenaan sudah menimbulkan perasaan tidak senang, resah dan marah umat Islam dengan sengaja, wajib diambil tindakan kerana tindakan tersebut amat biadap dan mendukacitakan. Macam sudah menjadi satu trend “water-testing” dengan tular dahulu kemudian jika respon negatif segera mohon maaf, walaupun kerosakan yang dilakukan mendatangkan impak besar terutama kepada minda generasi muda.
11. Sewajarnya pihak PDRM mengambil langkah proaktif dan tegas terhadap individu-individu seperti ini dan dibawa ke muka pengadilan. Seperti sebelumnya, pelaku mesti dijatuhkan hukuman keras yang setimpal agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi.
12. Pesalah yang melalukan provokasi dalam masyarakat perlu diambil tindakan yang tegas dan keras kerana jika tidak, tidak mustahil akan berlaku perasaan tidak puas hati akan timbul dan mendorong kepada rusuhan serta berkemungkinan akan berlaku seterusnya insiden ini boleh menjangkau kepada tahap mengancam keamanan dan keselamatan negara.
Haji Rashidi bin Haris
Ketua Media MUAFAKAT
Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA
*Ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pandangan Samudera.my*