Senario Dahsyat Berlaku Jika Pemimpin Hilang Akal Luluskan UEC – Datuk Raof Hussin
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 14 September 2021 – “Kalaulah ditakdirkan Allah pemimpin negara kita hilang akal, maaf saya guna akal, hilang timbang tara meluluskan UEC, maka akan wujudlah senario yang paling dahsyat dalam dasar pendidikan negara kita, kata Presiden Persatuan Pesara Pegawai Pendidikan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raof Hussin.
Antara senario dahsyat yang akan berlaku adalah, ia akan meluputkan secara automatik dasar pendidikan negara yang bermula dengan Penyata Razak, Penyata Rahman Talib dan Akta Pendidikan 1996 walaupun diputuskan oleh Parlimen.
“Sebab dalam Akta Pendidikan 1996, dasar pendidikan kita mesti menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Di samping itu, bahasa-bahasa lain boleh digunakan sebagai subjek Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.”
Tegas Datuk Raof, kurikulum dan kokurikulum pendidikan negara mestilah datang daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sendiri dan di dalam bahasa Melayu.
Akan tetapi, UEC ditubuhkan dengan menggunakan bahasa Cina, ujarnya lagi.
“Dan mereka sendiri buat peperiksaan, mereka sendiri buat kurikulum dan kurikulum mereka adalah lebih condong kepada memuja negara Cina, Taiwan bukan Malaysia. Jadi, kalau diiktiraf hancur dasar pendidikan negara kita, kena buat dasar baru.”
Kenyataan ini dikeluarkan dalam rancangan TV Pertiwi bertajuk bual bicara TV Pertiwi bertajuk UEC: Kerana Kuasa Prinsip Tergadai, 9 September lalu yang juga menampilkan Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya dan Ketua Penerangan ARMADA, Mohd. Ashraf Mustaqim.