Semua Tentera Rusia Akan Dimusnahkan, Ketua Polisi Luar EU Tegur Putin
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SEPANYOL, 16 Oktober 2022 – Ketua Polisi Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell mengeluarkan kenyataan balas kepada Presiden Rusia Vladimir Putin dengan mengatakan bahawa semua tentera Rusia akan dimusnahkan.
Beliau membuat kenyataan sedemikian susulan Vladimir Putin memberi amaran kepada Kesatuan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bahawa negaranya mempunyai “pelbagai cara pemusnahan” yang boleh digunakan untuk mempertahankan “integriti wilayahnya.”
Amaran oleh Presiden Rusia itu adalah ketika beliau selesai menandatangani dekri mobilisasi separa untuk meningkatkan barisan tentera Rusia pada 21 September lalu.
Oleh itu, Josep Borrell menegaskan bahawa serangan nuklear Rusia terhadap Ukraine akan mencetuskan “jawapan yang begitu kuat” daripada Barat bahawa tentera Rusia akan “dimusnahkan”.
Selain itu, serangan nuklear Rusia terhadap Ukraine akan menjadikan “pertukaran permainan secara total” dan negara-negara Kesatuan Eropah sedang bersedia untuk sebarang kemungkinan senario.
“Perang ini mengubah banyak perkara, dan sudah tentu ia mengubah Kesatuan Eropah. Peperangan ini akan mewujudkan Kesatuan Eropah yang berbeza, dari perspektif yang berbeza,” jelas beliau.
Dalam pada itu, pencerobohan oleh Rusia ini juga menggambarkan kesan ketidakstabilan yang serius kepada politik global, ujar Josep Borrell.
Portal samudera.my sebelum ini melaporkan berkenaan situasi negara-negara Eropah yang kini kian merasai ‘kehangatan’ daripada bekalan gas asli Rusia yang semakin berkurang, sekali gus menyaksikan kos tenaga dan bahan makanan meningkat mendadak.