TempatanTerkini

Semua Surat Rasmi Kerajaan Ke Luar Negara Mesti Berbahasa Melayu

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 12 Ogos 2022 – Surat-menyurat rasmi dalam dan luar negara oleh semua agensi Kerajaan sama ada untuk menghantar atau membalas hendaklah menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.

“(Surat-menyurat rasmi itu) kemudiannya dilampirkan dengan terjemahan dalam Bahasa Inggeris sekiranya tiada kepakaran dalam bahasa ibunda negara berkenaan.”

Ini merupakan antara petikan dari Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian PO.1.1.1: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Perkhidmatan Awam yang disertakan bersama surat edaran bertarikh 9 Ogos 2022 ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Menurut surat edaran itu, Ketua Jabatan di agensi Kerajaan bersama-sama pegawai perlu memastikan penggunaan Bahasa Melayu dengan baik dalam urusan rasmi, surat rasmi dan dokumen perjanjian bagi urusan dalam dan luar negara.

Selain itu, semua pegawai awam juga hendaklah menggunakan Bahasa Melayu dengan baik dalam semua urusan rasmi sama ada secara lisan atau bukan lisan serta sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam Bahasa Melayu.

“Ketua Jabatan juga perlu memastikan semua warga jabatan mempunyai tahap penguasaan dan penggunaan Bahasa Melayu yang baik daripada aspek lisan dan bukan lisan.”

“Pemantauan, penilaian dan pengauditan secara berkala wajar dilaksanakan mengikut keperluan dengan merujuk kepada agensi atau badan profesional yang sesuai,” kata surat edaran itu lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menegur pihak swasta, syarikat milik Kerajaan (GLC) dan agensi Kerajaan yang tidak mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu dalam program mereka.

“Saya berharap setiap persidangan, mesyuarat dan lain-lain mesti menggunakan Bahasa Melayu selepas ini. Siapa lagi boleh mengangkat Bahasa Melayu melainkan kita sendiri,” tegas beliau.

Leave a Reply

Back to top button