Semua Pusat Judi Kedah Tutup Hujung Tahun Ini – Menteri Besar
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
BALING, 22 Jun 2022 – Semua pusat judi di Kedah akan menamatkan operasi pada hujung tahun ini memandangkan kerajaan Kedah tidak akan memperbaharui lesen mereka, tegas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Ini merupakan salah satu langkah yang diambil oleh pihak kerajaan negeri bagi mengekang aktiviti-aktiviti maksiat yang hanya membawa kemudaratan kepada rakyat.
“Kita akan perkenal beberapa langkah baharu yang akan diumum kemudian. Seperti hujung tahun ini, semua premis judi di negeri ini akan menamatkan operasi mereka selepas kita tidak lagi memperbaharui lesen berkenaan,” kata beliau.
Menurut Menteri Besar itu lagi, pihak kerajaan tidak akan melayan sebarang rayuan pemilik premis perjudian bagi melanjutkan tempoh operasi.
Sebelum ini, Democratic Action Party (DAP) melalui penama Liew Han Eng dan tiga lagi penama telah bertindak mencabar tindakan oleh Negeri Kedah yang enggan memperbaharui lesen perjudian melalui tindakan mahkamah.
Ramkarpal Singh, ahli DAP yang juga merupakan seorang pengamal undang-undang, telah membantu dalam memfailkan kes tersebut. DAP menyifatkan tindakan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sebagai tidak munasabah dan boleh dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.
“Plaintif akan mencabar atas alasan, antaranya, bahawa keputusan Negeri Kedah untuk tidak memperbaharui lesen perjudian adalah sesuatu yang melampaui bidang kuasa yang diperuntukkan Perlembagaan kerana kuasa untuk mengeluarkan lesen adalah di bawah bidang kuasa eksklusif Parlimen,” ujar beliau.