Semasa Insiden Natrah, Cina & India Bersama Orang Melayu
KUALA LUMPUR, 13 Mei 2023 – “Ini satu fakta yang orang tak tahu. Semasa tragedi Natrah, orang Cina boleh elak untuk merusuh, tetapi memilih untuk bersama dengan Melayu. India dan Serani pun,” dedah Puan Sri Fatini Yaacob, Ketua Kluster Tamadun Melayu Sekretariat PEMBELA tentang tragedi Natrah yang berlaku pada tahun 1950.
Ujarnya, beliau bertanyakan hal ini kepada orang-orang lama, jawapan yang diperolehi, mungkin kerana mereka terhutang budi dengan orang Melayu disebabkan oleh Jus Soli.
Selain itu, pada masa itu, ramai orang Cina yang menyerahkan anak-anak mereka kepada orang Melayu untuk dipelihara.
“Mereka bersatu nak bantu Melayu,” kata beliau lagi sewaktu pembentangan terkini Sejarah Natrah 3.0 anjuran Yayasan Kasih Tauhid semalam.
Dalam masa sama, menurut Pengerusi Yayasan Kasih Tauhid itu, tragedi Natrah menunjukkan wujudnya perjuangan kasih tauhid orang Melayu kepada agama.
“Kerana Natrah yang satu, mereka bangkit beribu.”
Pembentangan dan pendedahan eksklusif tentang Sejarah Natrah 3.0 oleh Puan Sri Fatini Yaacob ini telah diadakan pada 12 Mei 2023 bertempat di Dewan Kiswah, Yayasan Kasih Tauhid, Shah Alam Selangor.
Antara tetamu yang hadir adalah NGO dari Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), NGO Pewaris, Yayasan Kasih Tauhid dan Demi Malaiu.
Manakala pihak portal yang hadir pula adalah dari samudera.my dan TVPertiwi.
Pembentangan mendedahkan beberapa dapatan baru mengenai insiden Natrah yang bakal dimuatkan dalam buku ketiga yang bakal dilancarkan beliau.