Semarak Subuh: ADUN Johor Diminta Solat Subuh Berjemaah Setiap Jumaat
PETALING JAYA, 26 November 2023 – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor beragama Islam diminta untuk menunaikan solat Subuh berjemaah di kawasan masing-masing dalam inisiatif Semarak Subuh yang diperkenalkan Kerajaan Johor.
Menurut Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, sebanyak RM560,000 bagi melaksanakan inisiatif itu di kesemua 56 DUN yang diperuntuk dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkannya baru-baru ini.
Katanya, selain bertadabbur al-Quran, ADUN yang terlibat juga boleh menyantuni para jemaah di masjid atau surau kawasan masing-masing.
Bagi ADUN wanita dan bukan beragama Islam pula, mereka boleh menghantar wakil dari pusat khidmat masyarakat DUN masing-masing, jelas beliau.
Beliau menjelaskan, Semarak Subuh itu penting dalam memacu pembangunan negeri di mana pentadbiran Kerajaan Johor sentiasa memberi penekanan kepada dua dimensi utama iaitu menjaga hubungan antara manusia dengan Tuhan dan hubungan sesama manusia.
Tambah beliau lagi, pegawai daerah, kadi, imam dan pegawai-pegawai agensi kerajaan daerah serta pemimpin masyarakat juga akan turut serta dalam program tersebut.
Untuk rekod, sebanyak 2,688 Program Semarak Subuh akan dilaksanakan di 56 kawasan DUN sepanjang tahun 2024.