Tempatan

Semakan Kehakiman Kes Luar Tabii Ditarik Balik

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

SHAH ALAM, 21 April 2021 – Seorang lelaki berusia 35 tahun hari ini menarik balik permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Ketua Pendakwa Syarie Negeri Selangor yang mendakwanya atas pertuduhan cuba melakukan seks luar tabii berikutan telah dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 19 April lepas.

Keputusan itu dicapai pada sesi pengurusan kes yang dijalankan secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Firdaus Sidqi Sharil Azli.

“Tiada bantahan daripada Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor Husna Abdul Halim yang mewakili responden pertama dan kedua (Ketua Pendakwa Syarie Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor) terhadap permohonan itu,” kata peguam, Tay Kit Hoo yang mewakili lelaki tersebut.

Di samping itu, mahkamah juga membatalkan semakan kehakiman tersebut tanpa kos selepas membenarkan permohonan lelaki berkenaan.

Pada 16 Jan tahun lepas, lelaki tersebut memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur untuk memulakan prosiding semakan kehakiman itu.

Lelaki itu memfailkan permohonan tersebut pada 20 Nov 2019, antaranya memohon deklarasi bahawa Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bercanggah dengan Artikel-Artikel 5 (1), 8 dan 10, Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu ia terbatal dan tidak sah.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat kemudiannya pada 25 Februari 2021 memutuskan bahawa Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang membenarkan hukuman bagi seks luar tabii adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Susulan keputusan ini, Prof Dato’ Mahamad Naser Disa, pensyarah Undang-Undang Perlembagaan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mahu pihak berkuasa mengambil tindakan dan memulakan siasatan terhadap Iki Putra dan mereka yang terlibat dalam pesta gay tahun 2019 di bawah Akta 377.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button