Semak Semula Kelulusan Permit Konsert, Elak Pengaruh Tidak Sihat
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 05 September 2022 – Kelulusan permit konsert serta garis panduannya akan dinilai semula oleh pihak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengelakkan pengaruh tidak sihat kepada golongan muda.
Kata Menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassim, penilaian semula garis panduan dan kelulusan permit itu adalah bagi memastikan konsert hiburan yang diadakan tidak melampaui batas.
“Ada yang membuat aduan mengenai beberapa konsert yang dibawa itu tidak menepati kehendak pembangunan insan semasa. Kita boleh berhibur tetapi dalam masa yang sama kita mahu ada kesan yang positif.”
Tegas beliau, pihak KWP tidak akan bersekongkol sekiranya konsert yang dianjurkan hanya mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat biarpun konsert itu melibatkan artis terkenal.
“Aspek keagamaan juga jangan dilupakan. Letaklah agama sebagai sandaran dan panduan utama dalam kehidupan seperti prinsip Rukunegara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan,” ujarnya.
Sebelum ini, Pemuda PAS Malaysia menggesa pihak Kerajaan untuk membatalkan konsert hedonisme yang tidak menepati dengan nilai kehidupan umat Islam di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Ustaz Haji Idris Ahmad turut mengatakan bahawa konsert-konsert hiburan perlu dikurangkan kerana dibimbangi ia mendatangkan masalah sosial yang lebih buruk.