NGO

Semak Kembali Sistem Pengurusan Tanah Rizab Melayu – Teras Pengupayaan Melayu

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini. 

Kami memandang serius pendedahan status kehilangan Tanah Rizab Melayu (TRM) di Negeri Perak dalam Laporan Ketua Jabatan Audit Negara (JAN) 2019 yang dilapor dalam media baru-baru ini.

Ternyata kelemahan dalam pengurusan Pejabat Tanah telah mengakibatkan banyak kepincangan berlaku terhadap TRM.

Ia termasuk pemindahan TRM kepada bukan Melayu yang menyalahi Enakmen Rizab Melayu dan Kanun Tanah Negara. Ratusan hektar TRM dipindah milik kepada bukan Melayu secara tidak sah. Malah ada kes pencerobohan ke atas TRM dalam tempoh yang lama.

Mengikut laporan JAN itu, berlaku TRM yang dipindah milik yang diganti dengan tanah yang tidak mengikut nilai dan sifat yang sama seperti syarat yang termaktub di dalam Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan.

Kami kesal ini boleh berlaku padahal isu kehilangan TRM sudah dibahas berkali-kali di pelbagai forum dan mesyuarat. Keluhan dan kekhuatiran terhadap TRM dilontar di pelbagai forum malah di peringkat Majlis Tanah Negara namun keadaan tidak semakin baik malah bertambah buruk.

Kekhuatiran TRM akan pupus telah disuarakan oleh pelbagai pihak agar TRM dipertahankan. Pelbagai rekomendasi dihasilkan akan tetapi isu TRM terus tidak diselesaikan dengan tuntas.

Laporan yang telah diserah kepada SPRM dalam beberapa kes di Perak oleh pihak tertentu menunjukkan pihak berkuasa negeri tidak bertindak segera berdasarkan laporan JAN.

Kami menggesa agar polemik mengenai isu TRM tidak hanya membawa naratif kes-kes penyelewengan dan kepincangan yang berlaku, akan tetapi perlu menilai semula sistem pengawalan dan pematuhan kepada Enakmen Rizab Melayu dan Kanun Tanah Negara.

Kami juga menggesa agar sistem pengurusan TRM dan penguatkuasaan undang-undang disemak agar segala kelemahan pengurusan di pejabat tanah diperbaiki segera.

Kerugian hasil cukai membabitkan TRM bukan sahaja merugikan Kerajaan, namun kami juga mengingatkan kepada pihak berkuasa negeri bahawa TRM adalah suatu amanah orang Melayu yang perlu dipertahankan sebagai aset penting untuk masa depan.

Pengkhianatan terhadap amanah ini sangat serius kerana ia akan memberi kesan kepada sosioekonomi orang Melayu terutama untuk generasi akan datang.

Kami menggesa semakan mengenai status terkini TRM di seluruh negara dilakukan segera. Status terkini penting untuk disemak bagi menilai kedudukan TRM dan dengan itu tindakan yang sesuai dilakukan bagi memastikan TRM tidak terus tergugat.

Kami menuntut:

1. Kertas Putih mengenai kedudukan TRM da Tanah Wakaf dikeluarkan.

2. Sebuah Suruhanjaya Diraja TRM diwujudkan untuk mengumpul maklumat terperinci dan rekomendasi yang wajar untuk menyelamatkan TRM di seluruh negara.

3. Sebuah Agensi khas diwujudkan di bawah Majlis Tanah Negara dengan kerjasama Kerajaan Negeri untuk menguruskan ehwal TRM dari segi undang-undang dan pembangunan.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Pengerusi Majlis Tindakan Tanah Melayu
Merangkap Presiden Teras Pengupayaan Melayu

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my 

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: