Tempatan

Selepas Ruang Udara, Perairan Malaysia Pula Dicerobohi China

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

SARAWAK, 09 Jun 2021 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM) Miri mengesahkan sebuah kapal Pengawal Pantai China (CCG) dikesan menceroboh perairan Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali yang terletak hanya 84 batu nautika di Pantai Miri, Jumaat lalu.

Kejadian ini berlaku beberapa hari selepas insiden 16 buah pesawat Tentera Udara milik China, People’s Liberation Army-Air Force (PLAAF) dikesan memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia.

Berikutan kejadian ini, Pengarah MARITIM Miri, Kapten Md Fauzi Othman berkata, MARITIM Miri termasuklah  Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah meletakkan asset-aset bagi memantau perkara ini dengan lebih teliti.

“Ya, saya boleh mengesahkan bahawa kami telah menerima laporan mengenai CCG menceroboh perairan kita pada 4 Jun. Aset kami termasuk dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengawasi keadaan dengan teliti.”

Untuk makluman, Beting Patinggi Ali adalah kawasan yang terlibat dalam pertikaian tuntutan oleh China dan Malaysia.

Pada 31 Mei lalu, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad mengesahkan pihaknya telah mengesan penerbangan mencurigakan oleh PLAAF memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional yang dikhuatiri mengancam kedaulatan negara.

Kedutaan Besar China di Malaysia walau bagaimanapun mendakwa tindakan 16 buah pesawat tentera republik itu memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia sebagai latihan penerbangan biasa dan tiada apa yang perlu dicurigakan.

Berikutan kejadian ini, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyatakan Malaysia akan mengeluarkan nota bantahan diplomatik atas pencerobohan PLAAF kepada Kerajaan Republik Rakyat China.

“Pendirian Malaysia sangat jelas – mempunyai hubungan diplomatik yang mesra dengan mana-mana negara tidak sekali-kali bermaksud bahawa kita akan kompromi tentang keselamatan negara kita.”

Leave a Reply

Back to top button