Selepas Kemarau, Kini China Bakal Dilanda Banjir Besar
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
CHINA, 31 Ogos 2022 – Bahagian barat daya China yang mengalami suhu panas ekstrem bulan ini kini berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk kemungkinan berdepan banjir buruk ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Kerajaan China kini memulakan tindakan kecemasan pencegahan banjir di Sichuan dan Chongqing selepas meramalkan hujan akan berterusan.
Pihak berkuasa juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku banjir besar sejurus selepas kerajaan mengisytiharkan darurat kemarau negara pada awal bulan ini.
China mengeluarkan amaran kuning kebangsaan iaitu amaran kemarau yang pertama tahun ini susulan wilayah dari Sichuan hingga ke Delta Yangtze, Shanghai, mengalami suhu panas ekstrem selama berminggu-minggu.
Sebanyak 66 sungai merentasi 34 daerah di wilayah barat daya Chongqing telah kering dan peratusan hujan di Chongqing turun 60 peratus berbanding musim biasa dan tanah di beberapa daerah berdepan masalah kurang lembap.
Amaran kemarau yang dikeluarkan itu disifatkan kerajaan China sebagai disebabkan oleh fenomena perubahan iklim global.