Antarabangsa

Selepas Arab Saudi, Turki pula ‘bersahabat’ dengan Israel

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ANKARA, 12 Mac 2022 – Turki dan Israel kini bersetuju membina semula hubungan mereka selepas ketegangan 14 tahun lalu.

Persetujuan ini dibina selepas Presiden Israel, Isaac Herzog menerima jemputan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada 9 Mac baru-baru ini. Herzog merupakan pemimpin Israel pertama melawat Turki sejak tahun 2008.

Erdogan menyifatkan lawatan ini sebagai “bersejarah” dan “titik perubahan” dalam hubungan kedua-dua negara itu.

Beliau memaklumkan bahawa Turki bersedia untuk bekerjasama dengan Israel terutamanya dalam sektor tenaga. Tambahnya, kedua-dua negara tersebut mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk menghidupkan semula dialog politik berdasarkan kepentingan bersama dan menghormati sensitiviti masing-masing.

Erdogan turut menyatakan kepentingan untuk mengekalkan visi penyelesaian dua negara, mengurangkan ketegangan antara rantau itu, serta menjaga kesucian Masjid al-Aqsa, identiti dan status sejarahnya.

Walau bagaimanapun, kedua pemimpin tetap mengaku perbezaan kekal mereka berkenaan isu rakyat Palestin, di mana Turki mengkritik penindasan Israel ke atas penduduk Palestin di Tebing Barat dan dasarnya terhadap rakyat Palestin, manakala Israel meminta Turki membatalkan sokongan mereka terhadap Hamas, kumpulan militan Palestin yang mentadbir Gaza.

Dalam pada itu, Turki yang dilanda krisis ekonomi sedang cuba menamatkan pengasingan antarabangsanya dengan menormalkan hubungan dengan beberapa buah negara Timur Tengah termasuk Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Mesir dan kini ke arah hubungan rapat dengan negara Israel.

Lawatan Israel ke negara Islam itu mengundang kemarahan rakyat Turki. Orang ramai membantah di luar kedutaan Israel di Ankara pada Rabu lalu sambil memegang gambar aktivis yang dibunuh di Mavi Marmara. Mereka turut melaungkan slogan menentang Israel dan Amerika Syarikat.

Salah seorang penunjuk perasaan membacakan satu kenyataan yang menegaskan, “Kami tidak akan lupa puluhan ribu syuhada Palestin… atas nama kesucian Baitulmuqaddis dan Masjid al-Aqsa, kita mesti memerangi lawatan ini yang merupakan satu langkah ke arah normalisasi hubungan dengan Israel.”

Levent Dölek, Timbalan Pengerusi Parti Pekerja Revolusi Turki (DIP) yang turut hadir membantah lawatan tersebut mengatakan, “Kami berada di sini untuk membantah Herzog, membantah mereka yang menjemputnya ke sini dan mereka yang bekerjasama dengan Zionis Israel”.

Di samping itu, mereka turut mengadakan kempen ‘Herzog Defol!’ yang bermaksud ‘Keluar Herzog!’ dan menuntut supaya ditamatkan sebarang hubungan ketenteraan, komersial, diplomatik, akademik dan kebudayaan dengan negara Israel demi rakyat Palestin.

Terdahulu, kedua negara ini pernah bersekutu rapat tetapi menjadi renggang semasa pemerintahan Erdogan bermula tahun 2014 yang merupakan pengkritik lantang terhadap tindakan dan dasar Israel terhadap Palestin.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: