Selaras Modul Pendidikan Tahfiz, Madrasah Melalui SPM Atau STAM
GEORGETOWN, 24 Julai 2023 – Pengasas Madrasah Al-Quran Wal Arabiyyah (Mawar), Ahmad Fahmi Abu Bakar berkata modul pendidikan di pusat tahfiz, madrasah dan pondok boleh diselaraskan dengan mewajibkan pelajarnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Ujarnya, “Memang kita perlu selaraskan tahap pendidikan bagi meningkatkan mutu pendidikan sekolah tahfiz, madrasah, sekolah agama rakyat dan sebagainya dan ia boleh dilakukan menerusi satu modul khas.”
“Sebagai contoh, modul khas yang mewajibkan setiap pusat tahfiz, madrasah atau institusi pondok mengambil SPM, STAM atau kalau mereka mengambil subjek agama, wajib ada mata pelajaran asas,” jelas Ahmad Fahmi kepada akhbar tempatan.
BACA JUGA: Syarikat Rejim Israel Bakal Promosi Produk Halal Di Malaysia, Indonesia
BACA JUGA: Ceroboh Tanah Haram: Kerajaan Negeri Akan Terus Dakwa – MB Pahang
BACA JUGA: Jenazah Salahuddin Ayub Dikebumi Tengahari Ini
Tambah beliau, setiap institusi agama berkenaan juga perlu diberi kebebasan untuk mempunyai modul pendidikan tersendiri kerana guru yang mengajar atau pengasas sesebuah sekolah itu mempunyai cara didikan tertentu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, setiap negeri mempunyai keunikannya dan silibus yang bersesuaian dengan persekitarannya.
“Walaupun tidak menyenaraikan silibus-silibus yang seragam, tetapi saya percaya topik-topik utama seperti akidah, ibadat, tauhid ataupun ajaran al-Quran adalah sama di setiap negeri.”
Justeru, Mohd. Fared menyerahkan perkara tersebut kepada kebijaksanaan pentadbiran agama Islam negeri-negeri sekiranya hasrat untuk menyeragamkan silibus mahu dilaksanakan pada masa hadapan.