Selangor Catat Kes Pokok Tumbang Tertinggi Tahun Ini
PUTRAJAYA, 04 Jun 2024 – Selangor mencatatkan jumlah kejadian pokok tumbang tertinggi iaitu sebanyak 210 kes bagi tempoh empat bulan pada tahun ini.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad, negara merekodkan sebanyak 1,085 kes pokok tumbang yang berlaku akibat hujan lebat dan angin kuat sejak Januari lalu.
Ujarnya, ekoran fenomena tersebut, beberapa kejadian tidak diingini telah berlaku termasuk kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.
“Dalam insiden tidak diduga itu, sebanyak 15 orang tercedera dan empat kematian dicatatkan sepanjang tempoh Januari hingga April 2024. Seramai 13 orang berjaya diselamatkan pihak JBPM dalam kejadian malang tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, pada tahun lalu, JBPM merekodkan kejadian pokok tumbang sebanyak 4,825 kes seluruh negara dengan 10 kematian dan 47 orang tercedera, manakala 77 mangsa berjaya diselamatkan pihak JBPM menerusi khidmat kemanusiaan diberikan.