NGO

SELAMAT HARI WANITA SEDUNIA 2021: WANITA SEBAGAI PENYEMBUH AGAMA, BANGSA DAN NEGARA – NAJM

1. Semalam kita telah bersedih atas berita seorang wanita ditembak mati semasa sedang tidur oleh suaminya dan dimasukkan dalam sebuah tong lalu ditanam sedalam 2 meter di kawasan ladang serai. Tinggallah dua anaknya dalam keadaan yatim sementara si suami sedang ditahan untuk dihadapkan ke Mahkamah atas tuduhan membunuh itu. Perkahwinan yang sepatutnya membahagiakan akhirnya telah menyebabkan wanita itu kehilangan nyawanya. Dan bukan sedikit wanita yang menderita dalam hayat perkahwinan mereka kerana kepenatan menguruskan rumah tangga sendirian, dibuli, ditinggalkan tanpa nafkah serta didera hati dan perasaan.

2. Hari ini kita bukan sahaja menangis kerana melihat wajah manis anak-anak gadis kita bertudung litup sedang melacurkan maruah dan diri mereka dalam aplikasi dan laman web lucah, bahkan kita terus menangis apabila anak-anak gadis kita melahirkan bayi-bayi di luar nikah pula. Dan bukan perkara baru, sebilangan anak-anak gadis kita dianggap gadis murahan dibuli pula dengan gelaran-gelaran menghinakan.

3. Hari ini, kita kaum wanita telah terperangkap dengan percaturan parti-parti politik yang dimonopoli kaum lelaki yang tidak segan silu menggadaikan kepentingan agama dan bangsa hanya untuk menikmati upah dunia yang sedikit. Seruan kesatuan atas nama agama dan bangsa hanyalah satu topeng untuk menyelamatkan tekak dan tembolok pihak tertentu. Sandiwara politik kaum lelaki dalam parti-parti politik ini amatlah meloyakan. Sementara itu, selama hayat demokrasi ini berlangsung, wanita hanya dijadikan sebagai sayap tempelan yang akan dipergunakan sebagai jentera pilihan raya. Lalu di mana wanita-wanita itu tatkala kaum lelaki mendapat kuasa? Jika ada lantikan menteri wanita sekalipun, peranan itu hanya terhad kepada sekadar mengetuai kementerian berkaitan wanita dan kebajikan.

4. Pembangunan material yang dilaungkan pemimpin-pemimpin lelaki ini telah menyebabkan kita menjadi suatu bangsa yang tandus jiwa, akhlak, hati dan akal budi apabila di sana sini korupsi, rasuah dan penyelewengan kuasa tidak terbendung. Kita telah kehilangan tenang dalam hati-hati kita apabila hanya memikirkan sesuap nasi yang perlu diberi kepada keluarga pada malam hari dan hutang piutang yang perlu dibayar keesokan paginya. Kita sedang menanggung ketulahan kerana ahli-ahli politik kita telah menjadi pemimpin-pemimpin yang tidak segan silu berlaku curang dengan amanah kepimpinan mereka.

5. Jika kaum lelaki tidak mampu menjalankan amanah kepimpinan negara ini, diam dan berehatlah sebentar untuk berjanji daripada menjadi tuli, berzikir dan dikir setelah lama mereka berfikir dan menyerah diri kendiri setelah sekian lama mereka mungkir. Sesungguhnya linangan air mata itu lebih suci daripada gelak ketawa dan lebih mudah dipanggil mukhlisin sekiranya mahu terhindar daripada perkataan munafiqin. Diam dan duduk tertunduk itu lebih baik daripada bising berdiri dan mendongak menghajati. Diam kerana melupakan janji lebih baik daripada berlari hanyut dengan nafsu yang terperi. Lautan bahari itu lebih baik daripada segerombolan kayu api yang akan membakar diri sendiri. Maka pilih dan memilihlah kerana sebaik-baik pilihan itu adalah pilihan Allah dan Rasul.

6. Maka bersempena Hari Wanita Sedunia ini, kami di pihak NAJM menyeru wanita-wanita di luar sana tidak kira siapa pun anda, surirumah mahupun wanita berkerjaya, profesional mahupun pekerja kebersihan di sekolah, yang sedang gigih menjual nasi lemak mahupun wanita pelabur dan peniaga syarikat besar, seorang ibu mahupun seorang anak gadis, pelajar sekolah mahupun universiti, kepada seluruh wanita yang sedang membaca setiap huruf dan bait ucapan ini, bangkitlah dengan hati yang putih bersih dan akal yang bijaksana. Kesatlah air mata kita dan bersamalah memandu tanah ini keluar daripada kegelapan yang meraja untuk memikul tugas memimpin negara. Semoga kesedaran dan keberanian kita hari ini akan menyelamatkan Agama, Bangsa dan Negara kita di masa mendatang. Tuhan akan bersama selagi mana hati kita tetap lurus dan tulus.

Semoga Tanah ini akan segara sembuh di tangan pemimpin wanita, Insya Allah.

Pengasas NAJM
1. Dato’ Julita Ilhani Abdul Jabbar
2. Azlinda Bahroni
3. Nadia Aziz

Mengenai NAJM
Sebuah gabungan professional wanita yang ingin membawa Malaysia kea rah Tanah yang aman, tenang dan seimbang

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tiada kaitan dengan pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button