Tempatan

Selamat Hari Wanita Buat Semua Wanita – Raja Permaisuri Agong

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat meraikan Hari Wanita Sedunia hari ini kepada semua wanita di Malaysia.

Menerusi video yang disiarkan dalam Facebook Istana Negara, Raja Permaisuri Agong bertitah, “Bersempena dengan Hari Wanita yang akan disambut pada 8 haribulan Mac 2021, saya ingin menyeru agar kita semua menghargai wanita. Sayangi, hormati dan berlemah-lembutlah dengan mereka.”

Titah baginda lagi, istimewanya wanita dilihat pada kekuatannya untuk tetap mampu bangkit dan cekal menghadapi segala cabaran.

““Wanita Bangkit Mendepani Cabaran. Itulah tema Hari Wanita bagi tahun ini”. Wanita waja mampu mengharungi setiap cabaran yang datang dengan kekuatan yang diberikan oleh Allah S.W.T. Itulah istimewanya kita wanita.”

“Pandemik yang melanda negara pada masa ini menguji kehidupan kita semua. Dan di sinilah kita melihat kekuatan seorang insan yang bergelar wanita walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, wanita tetap mampu bangkit dan cekal serta berjaya keluar dari cabaran tersebut.”

Dalam masa yang sama, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengingatkan kepada semua wanita untuk menghargai dan menyayangi diri sendiri.

Ini kerana wanita yang bahagia mampu membawa kebahagiaan kepada semua yang berada di sekelilingnya.

“Sebagai seorang isteri, ibu, permaisuri dan wanita pertama negara, saya ingin mengingatkan wanita semua, sayangi dan hargailah diri kita sendiri. Love yourself. Dan dengan ini, anda akan menjadi insan bahagia yang hebat. Wanita yang bahagia sudah pasti mampu membawa kebahagiaan kepada semua insan di sekelilingnya.”

Mengakhiri titah, Raja Permaisuri Agong mahu semua rakyat untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental diri sendiri serta keluarga.

“Akhir kalam, marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan kita dan keluarga, baik kesihatan fizikal mahupun mental.”

“Dan akhir kalam, sejahtera wanita, sejahteralah negara. Selamat Hari Wanita buat semua wanita di Malaysia.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: