Selain Rumah, Penduduk Mengadu Hilang Tanah Ketika Musim Tengkujuh
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PAHANG, 03 Januari 2023 – Penduduk yang terkesan dengan musim tengkujuh, selain kehilangan rumah turut mengadu menghadapi masalah hilang tanah akibat kejadian hakisan tebing sungai.
Menurut perkongsian seorang penduduk, beliau telah hilang lebih enam meter tanah akibat bencana alam itu.
“Kejadian hakisan tebing sungai setiap tahun menyebabkan batu sempadan tanah milik saya kini berada di dalam sungai. Malah sejak lebih setengah abad saya tinggal di sini, sudah lebih enam meter tanah saya hilang,” kata Jamidi Wahab, 63, dari Kampung Padang Rambia, Pekan.
Jamidi Wahab turut menambah, beliau antara penduduk yang terjejas akibat kejadian hakisan tebing sungai yang berlaku setiap kali musim tengkujuh.
Tambah beliau, pelbagai kesulitan menimpa penduduk akibat dari kejadian hakisan tebing sungai itu seperti penduduk terpaksa pindah keluar kerana rumah tidak selamat untuk didiami.
Seorang lagi penduduk, Zulkifli Hussin, 62, berkata, hakisan tebing itu berlaku berhampiran pagar rumah sewanya dan bimbang keadaan itu semakin buruk pada masa akan datang.
Banjir yang berlaku setiap kali musim tengkujuh juga memburukkan lagi keadaan, dengan terbaharu pada 18 Disember lalu , tebing sungai setinggi kira-kira lima meter terhakis sehingga merosakkan sebahagian jalan yang menjadi laluan penting dan jalan menghubungkan kampung itu dan Kampung Temai.