Tempatan

Sekolah Vernakular Sememangnya Penghalang Perpaduan – Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 18 Mei 2021 – “Secara umumnya, lepasan persekolahan Cina didapati lebih jumud pemikiran mereka yang mahu terus berpegang teguh kepada tradisi Cina dalam bentuk totoknya lagi, dan tidak mudah bertolak ansur walaupun dalam keadaan yang amat memerlukannya.”

“Sehubungan ini, perspektif mereka didapati amat terhad dengan pandangan yang bukan sahaja tegar, tetapi tidak dapat pula diterima dalam kerangka kepelbagaian dengan etnik Cina sebagai kelompok yang mendatangi negara ini.”

Ini berbeza dengan yang berpendidikan aliran bukan Cina yang didapati lebih terbuka dan tidak begitu berprasangka terhadap etnik asal untuk mempercayai mereka,” ujar Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, Felo Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Hurai Profesor Emeritus Datuk Dr Teo lagi, etnik Cina yang berpendidikan aliran bukan Cina ini bukan sahaja lebih bertoleransi, tetapi mudah bersimpati untuk mendukung banyak perkara bagi kebaikan negara, dengan fahaman baik bahawa etnik Melayu adalah kelompok yang didatangi di negara ini.

“Oleh itu, terdapat keperluan untuk mengutamakan nasionaliti daripada etnisiti dalam pembangunan negara bangsa.”

“Perbezaan pandangan ini disebabkan demografi yang didominasi etnik tertentu dalam aliran persekolahan berkenaan. Dengan ini, pengaruh kelompok dominan didapati penting dalam menentukan bahasa interaksi dan pelbagai pengawalan lain pada aliran persekolahan dalam bahasa berkaitan.”

Tambah beliau yang juga merupakan Felo di Majlis Profesor Negara, bahasa interaksi ini, sama ada Mandarin, bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris yang juga dituturkan sebagai ibunda atau bahasa utama, sesungguhnya mempunyai pengaruh kuat dalam membentuk pemikiran kita. Ini kerana terdapat perkaitan rapat antara bahasa dan cara kita berfikir yang dinaungi bahasa yang dituturkan sebagai bahasa penting itu.

Justeru, selagi Malaysia mempunyai persekolahan pelbagai aliran bahasa, selama itulah kita akan berhadapan dengan persoalan pendukungan jati diri kebangsaan yang tidak sama pada anak bangsa kita. Ini kerana bahasa yang berbeza akan membentuk pemikiran yang tidak sama.

“Kelompok tertentu yang mati-matian menafikan sekolah vernakular Cina adalah penghalang perpaduan, perlu mula bermuhasabah.”

“Ini kerana dengan munculnya kelompok tradisionalis Cina yang rata-ratanya merupakan lepasan aliran persekolahan Cina, yang berhabis-habisan mahu menolak dasar kepelbagaian dalam konteks kemestian mendukung etnisiti Melayu sebagai unsur penting lagi utama dalam pembangunan negara bangsa, ia kebenaran nyata lagi hakiki yang memperlihat resmi cauvinisme Cina selama ini yang mahu dinafikan. Seperti yang diperlihat, tidak dapat disembunyikan lagi bahawa sekolah vernakular Cina punca perpecahan di negara ini,” tegas Profeor Emeritus Datuk Dr Teo.

Mengakhiri kenyataan, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo sekali lagi menegaskan, sudah tiba masanya etnik Cina, khususnya aktivis pendidikan Cina, berhenti daripada berhujah sekolah vernakular Cina bukan penghalang perpaduan.

“Ia sememangnya penghalang perpaduan, malah bersifat anti-nasional apabila terus-terusan menghasilkan lepasan yang rata-ratanya tidak mampu memahami negara ini sebagai tempat bertandang yang sudah bertuan setibanya etnik Cina dan bukan tempat terokaan tanpa tuan. Justeru, harus ada mentaliti berdagang ke tempat orang dan bukannya tuan punya tempat.”

Peguam, Aidil Khalid sebelum ini pernah menyatakan, penubuhan Sekolah Jenis Kebangsaan atau sekolah vernakular sama sekali tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan kerana perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan sebarang penubuhan Sekolah Jenis Kebangsaan.

Apa yang diperuntukkan adalah pembelajaran dan pengajaran bahasa (selain Bahasa Melayu) sahaja, bukan suatu sistem sekolah di mana semua silibusnya diajar dalam bahasa vernakular.

“Perkara 152 Perlembagaan menerapkan bahawa Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu. Perkara 152 ini juga memperuntukkan bahawa walaupun Bahasa Melayu itu ditetapkan sebagai Bahasa Kebangsaan, namun ia tidak menghalang pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa lain.”

“Seseorang boleh mempelajari Bahasa Mandarin atau Tamil sebagai sebahagian daripada subjek, bukan menggunakan bahasa-bahasa tersebut sebagai bahasa pengantar untuk semua sistem pendidikan.”

Leave a Reply

Back to top button