Sekatan Saliran, Telaga Tiub Inisiatif Baik Elak Kebakaran Musim Panas
KUANTAN, 13 Mei 2023 – Sekatan saliran (check dam) dan telaga tiub disarankan dibina dengan lebih banyak di lokasi sesuai berhampiran kawasan hutan yang berisiko tinggi berlaku kebakaran ekoran cuaca panas melampau.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, penggunaan sekatan saliran dan telaga tiub sangat efektif dalam operasi memadam kebakaran hutan terutamanya di kawasan yang tidak mempunyai akses air atau sumber air yang terhad.
“Kita sudah menyarankan supaya lokasi yang dikenal pasti ini disediakan telaga tiub atau sekatan saliran air dengan kerjasama antara JBPM negeri dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).”
“Selain itu, kita juga merancang membuat perolehan tambahan termasuk membeli pam mudah alih bagi kegunaan operasi. Ianya sudah diluluskan dan kini dalam proses tender terbuka,” katanya.
BACA JUGA: Jabatan Perlindungan Data Peribadi Siasat Insiden Kebocoran Data Pemohon UiTM
BACA JUGA: Kes Buli Tular: Tindakan Disiplin Akan Diambil – Sekolah
BACA JUGA: Anak-Anak Loh Siew Hong Masuk Islam Secara Sah – Mahkamah
Dalam pada itu, beliau berkata JBPM telah mengenal pasti terdapat 406 kawasan di seluruh negara sebagai titik panas dan berisiko berlaku kebakaran terbuka.
Sebagai langkah kawalan awal kebakaran, Abdul Wahab berkata, pihaknya JBPM di peringkat negeri sudah diarahkan untuk membuat rondaan awal di kawasan dikenal pasti dan bekerjasama dengan agensi berkaitan khususnya Jabatan Alam Sekitar dan memantau perkembangan semasa cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (METMalaysia).
“Kita sudah bersiap menghadapi kes kebakaran terbuka terutama membabitkan kawasan tanah gambut dan sebagai langkah persediaan awal, semua aset yang diperlukan sudah diselenggara dan berada dalam keadaan siap siaga untuk operasi pemadaman,” jelasnya.
Terdahulu, METMalaysia menjangkakan Monsun Barat Daya akan bermula pada 15 Mei ini dan akan berterusan sehingga September 2023.
Sepanjang Monsun Barat Daya, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak berbanding bilangan hari hujan.