Sekatan Lori Cameron Highlands, Harga Sayur Mungkin Naik
CAMERON HIGHLANDS, 10 Februari 2023 – Adun DAP Tanah Rata, Ho Chi Yang menjangkakan kemungkinan harga sayur akan naik sekiranya arahan sekatan kenderaan komersial di Cameron Highlands berkuatkuasa.
Menurut laporan tempatan, langkah melarang kenderaan komersial di sebahagian kawasan Cameron Highlands mungkin menjejaskan bekalan sayur secara keseluruhan, bukan sahaja pekebun dan pengusaha logistik, malah pengguna juga akan terkesan.
Katanya, petani dan pengusaha logistik memberi alasan bahawa sayur-sayuran merupakan barang mudah rosak.
“Jika terdapat kelewatan menghantar sayur-sayuran ke pasar atau destinasi lain, ia mungkin menjejaskan kualiti hasil,” jelas Ho Chi Yang.
Dalam pada itu, ujarnya, operator logistik bergantung kepada ladang untuk bekalan sayur dan terdapat kira-kira 3,000 ladang di Cameron Highlands.
BACA JUGA: Tiada Apa Di Dunia Ini Yang Tiada Ancaman – Hj Aminuddin
BACA JUGA: Jangan Nafikan Hak Sabah, Sarawak Yang Patut Mereka Terima – Peguam Senior, Haniff Khatri
BACA JUGA: Dikhuatiri Lemas Dalam Latihan, TLDM Bantu Dalam Operasi SAR
Bagaimanapun, setiap ladang mempunyai jadual dan pasaran berbeza seperti menghantar hasil ke Ipoh, Selayang, Singapura dan negeri-negeri lain.
“Pasaran yang berbeza akan mempunyai masa (kutipan) yang berbeza. Jadi menyekat kenderaan bukan sahaja akan memberi kesan kepada jadual tetapi bekalan sayur-sayuran,” kata ahli DAP itu.
Ho juga percaya sekatan tersebut dibuat bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands pada hujung minggu.
“Ia kerana banyak kenderaan awam dan pelancong datang ke Cameron Highlands pada hujung minggu. Tetapi saya tidak fikir menghadkan kenderaan sebenarnya boleh menyelesaikan masalah itu,” katanya.
Ho turut mencadangkan agar Jabatan Kerja Raya (JKR) melaksanakan kajian menyeluruh sekali gus mendapatkan pandangan profesional dalam perancangan bandar, pengurusan trafik dan agensi lain.
Terdahulu, JKR menyiarkan notis persekutuan berhubung rancangan untuk melarang kenderaan komersial melalui laluan dari Habu ke Tringkap dari 10 pagi hingga 3 petang pada hari Jumaat hingga Ahad, termasuk cuti sekolah dan cuti umum.
Bagaimanapun, JKR menangguhkan larangan berkenaan susulan sesi dialog pada 03 Februari lalu.