Sekatan Barat Terhadap Rusia Makan Tuan – Taikun Rusia
RABU, 28 OGOS 2024 – Taikun logam Alisher Usmanov telah mengeluarkan kenyataan bahawa sekatan yang dibuat oleh pihak Barat terhadap Rusia kini telah menghasilkan kesan yang bertentangan dengan tujuan sekatan itu dilakukan.
Perkara tersebut dinyatakan sewaktu Usmanov ditemu bual oleh sebuah media Itali, Corriere Della Sera pada Khamis lalu.
Menerusi sesi tersebut, Usmanov telah berhujah bahawa siri sekatan yang telah dilakukan itu kini telah memberi lebih banyak mudarat terhadap negara-negara Kesatuan Eropah, berbanding dengan Rusia.
Katanya, “Mereka mahu memudaratkan ekonomi Rusia, dan di sini ianya sedang berkembang. Mereka mahu menghukum golongan elit peniaga, dan warga Rusia membawa pulang wang ke tanah air mereka.”
“Ekonomi Rusia sedang menyesuaikan diri dengan sekatan-sekatan tersebut manakala pasaran-pasaran di sekitarnya pula sedang berhadapan dengan kesusahan.”
“Eropah menolak sumber-sumber tenaga Rusia dan dipaksa untuk membelinya dengan harga yang jauh lebih tinggi”.
Walaupun berhadapan dengan siri sekatan oleh Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS) dan sekutu mereka, namun ekonomi Rusia pada tahun lalu tetap berkembang sebanyak 3.6 peratus manakala Perancis dan Itali pula merekodkan perkembangan dengan hanya 1 peratus.