Antarabangsa

Sejuta Kematian Akibat COVID-19 Pada 2022, WHO Sifatkan “Pencapaian Tragis”

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

GENEVA, 26 Ogos 2022 – “Minggu ini, kami melepasi peristiwa tragis satu juta kematian yang dilaporkan setakat tahun ini,” kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Beliau turut mempersoalkan setelah hampir 6.45 juta kematian dilaporkan kepada WHO sejak virus itu mula dikesan di China pada akhir 2019, adakah dunia benar-benar berupaya menangani pandemik COVID-19 ketika ini.

“Kita tidak boleh mengatakan bahawa kita sedang belajar untuk hidup dengan COVID-19 apabila satu juta orang meninggal dunia akibat COVID-19 pada tahun ini sahaja, apabila kita sudah dua setengah tahun dalam pandemik dan mempunyai semua alat yang diperlukan untuk mencegah kematian.”

Justeru, WHO menyarankan semua negara memperkukuh usaha mereka untuk memberi vaksin kepada semua pekerja kesihatan, warga emas dan golongan berisiko tinggi, bagi mencapai 70 peratus perlindungan vaksin yang sebelum ini semua negara digesa memastikan 70 peratus populasi divaksin menjelang akhir Jun 2022.

Walau bagaimanapun, 136 negara gagal mencapai sasaran, yang mana 66 negara masih mempunyai liputan di bawah 40 peratus dengan 10 negara mencapai kurang 10 peratus perlindungan vaksin.

“Satu pertiga daripada penduduk dunia masih tidak divaksinasi, termasuk dua pertiga pekerja kesihatan dan tiga perempat daripada orang dewasa yang lebih tua di negara berpendapatan rendah.”

Dalam pada itu, Pemangku Pengarah Urusan Pejabat COVAX Pakatan Vaksin Global (GAVI), Derrick Sim, berkata, sejuta kematian pada 2022 adalah angka yang terlalu banyak.

Beliau turut memaklumkan, lebih 593 juta kes kini dilaporkan kepada agensi kesihatan PBB dengan varian Omicron menyumbang 99 peratus daripada sampel virus yang dikumpul dalam 30 hari terakhir yang telah disusun dan dimuat naik ke inisiatif sains global GISAID.

Daripada jumlah itu, kumpulan BA.5 sub-varian Omicron kekal dominan di peringkat global pada kadar 74 peratus, ujar Derrick Sim.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: