Sejak DAP Berkuasa, Pulau Pinang Amal Dasar Perkhidmatan Awam ‘Merit’
KUALA LUMPUR, 18 Mac 2023 – Sejak DAP menguasai pentadbiran, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengamalkan dasar ‘merit’ dalam pengambilan perkhidmatan awam negeri itu.
Menurut Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy, Kerajaan Pulau Pinang mengeluarkan dasar yang dipanggil ‘pengambilan seimbang’ atau dasar ‘pekerjaan seimbang’ untuk meningkatkan taraf perkhidmatan awam negeri.
BACA JUGA: Menu Siswa Rahmah RM3.50 Bantu Pelajar B40
BACA JUGA: Solat Terawih: Selangor Larang Guna Khidmat Imam Luar Negara
BACA JUGA: Orang Melayu Lemah, Mudah Pihak Lain Jalankan Agenda
Jelasnya, pelaksanaan metodologi sedemikian telah memperlihatkan peningkatan yang beransur-ansur dalam pengambilan orang Melayu, orang bukan Melayu serta golongan wanita yang berkebolehan.
“Pekerjaan diiklankan, calon ditapis sebelum temuduga, temuduga diadakan dan calon yang sesuai dan berbakat ditawarkan pekerjaan,” katanya.
Malah, beliau mengatakan bahawa kaedah tersebut dapat memastikan orang Melayu dan orang bukan Melayu yang diikuti oleh golongan wanita berkebolehan memperoleh peluang untuk diambil berdasarkan merit.
Terdahulu, sewaktu Kerajaan Pakatan Rakyat menguasai pentadbiran pada tahun 2008, mereka mendapati terdapat kelemahan dalam pengambilan perkhidmatan awam khususnya terhadap pengambilan orang Melayu, orang bukan Melayu serta wanita yang kompeten dan berkebolehan, tambah beliau lagi.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut berkata bahawa kaum Melayu masih lagi menguasai tetapi terdapat peningkatan yang ketara untuk peluang pekerjaan buat orang bukan Melayu serta wanita.
Sebelum ini, P. Ramasamy menggesa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menangani penguasaan perkhidmatan awam oleh satu komuniti etnik iaitu Melayu.