Tempatan

Segera Tangani Kes Buli – Pemangku Raja Pahang

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

PEKAN, 14 Disember 2021 – Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kesal dan dukacita dengan beberapa kejadian buli seperti yang dilaporkan berlaku di Pahang baru-baru ini.

Oleh yang demikian, beliau menitahkan agar kejadian buli mesti segera ditangani oleh pihak berkaitan serta memastikan persekitaran sekolah adalah selamat.

Baginda juga meminta pentadbir sekolah lebih kerap mengadakan program-program berbentuk kesedaran, keagamaan dan pendidikan sivik bertujuan menerapkan nilai-nilai positif dalam diri setiap pelajar.

“Pentadbir sekolah perlu kerap mengadakan program-program kesedaran, keagamaan, dan pendidikan sivik untuk menerapkan nilai positif dalam diri setiap pelajar,” titah baginda ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-62 Sultan Pahang di Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang.

Selain itu, baginda turut menitahkan agar ibu bapa perlu sentiasa memberikan ingatan dan nasihat kepada anak-anak supaya tidak terlibat dengan aktiviti membuli seperti yang didakwa berlaku di daerah Rompin, Maran dan Lipis.

Terdahulu, Polis Pahang menerima tiga laporan kes buli melibatkan pelajar-pelajar di tiga buah sekolah di Muadzam Shah, Maran dan Lipis.

Menurut Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, polis menerima laporan pada 6 Disember dan 10 Disember melibatkan mangsa pelajar tingkatan satu dan dua daripada tiga buah sekolah dan kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Sehingga kini polis Pahang mengesahkan belum melakukan sebarang tangkapan berkait kes buli tersebut dan siasatan kesemua kes tersebut masih lagi berjalan.

Leave a Reply

Back to top button