“Segera Berikan Keperluan Di PPS” – YDP Agong
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
ROMPIN, 05 Januari 2022 – KDYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan negeri Pahang untuk segera mencukupkan dan memberi keperluan kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Saya harap semasa dalam tempat PPS ini, semua keperluan perlu diberi secepat mungkin. Khususnya, tempat tidur, selimut dan sebagainya. Makanan di sini setiap hari.”
“Dalam pada itu saya mengingatkan supaya tandas-tandas di sini sentiasa bersih. Saya tidak mahu adanya penyakit-penyakit yang lain akan timbul daripada PPS-PPS yang ada di sini,” titah Seri Paduka Baginda sewaktu menyantuni mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Keratong 1 dan Sekolah Kebangsaan Keratong 2 di Keratong, Rompin, semalam.
Turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Yang Dipertua Majlis Daerah Rompin, Tuan Ahmad Nasim bin Dato’ Haji Mohd Sidek dan pemimpin setempat.
Selain itu, Seri Paduka Baginda menitahkan agar satu kajian terperinci dibuat bagi mewujudkan laluan alternatif dari Bahau ke Muadzam terutama sewaktu musim tengkujuh.
“Satu lagi yang saya nak tekankan di sini secara holistik iaitu jangka panjang. Saya perhatikan jalan daripada Bahau ini ke Muadzam ini adalah satu jalan yang agak penting sebagai jalan alternatif kepada mereka-mereka yang datang ke sini. Saya harap satu kajian dapat diberi perhatian untuk jangka masa panjang supaya diberi keutamaan di jalan ini. Apabila terputusnya laluan LPT, laluan di sinilah menjadi jalan utama sewaktu musim tengkujuh ini.”
“Saya harap jalan ini, diberi keutamaan untuk pembaharuan, pembesaran dan apa yang patut. Jadi saya harap kerajaan akan buat kajian yang lebih terperinci,” tambah Seri Paduka Baginda.
Dalam masa yang sama, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga menasihati semua pihak untuk sentiasa berhati-hati dan menjaga diri dalam keadaan wabak yang sedang melanda negara ketika ini.
“Dalam pada itu, saya berharap kita perlu berhati-hati dengan wabak yang melanda negara kita dan SOP perlu diikuti oleh semua pihak. Kita tak boleh leka dalam soal SOP ini, saya harap tidak ada kluster daripada PPS yang di kawasan Muadzam ini.”
Di samping itu, kampung-kampung yang terlibat dengan banjir juga dinasihati untuk mendengar nasihat-nasihat kakitangan keselamatan dan kerajaan demi keselamatan diri dan keluarga.
“Saya harap semua pihak khasnya kampung-kampung yang terlibat ataupun terputusnya arus, dengar nasihat-nasihat pegawai-pegawai kerajaan, kakitangan kerajaan, kakitangan keselamatan, pihak polis, pihak RELA, pihak bomba dan seterusnya. Yang terpenting ialah keselamatan diri dan keselamatan keluarga supaya diselamatkan dahulu.”
Di akhir titah, Seri Paduka Baginda mendoakan agar semuanya berada dalam keadaan sihat dan selamat.
“Saya berharap cuaca bertambah baik. Terus berwaspada, kita sentiasa menanti sehinggalah hari terakhir musim tengkujuh ini berakhir. Mudah-mudahan kita semua berdoa supaya kita dapat kembali kepada yang lebih baik di masa-masa terdekat ini.”