Segera Baik Pulih Penempatan Orang Asli Sungai Ruil – KDYMM Sultan Pahang
CAMERON HIGHLANDS, 06 MAC 2024 –Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menitahkan agar kerja membaik pulih 16 rumah di penempatan Orang Asli Sungai Ruil dipercepatkan.
“Saya harap dipercepatkan lagi usaha memperbaikinya (rumah) supaya mereka boleh balik ke rumah asal mereka. Dalam pada itu, kita harap pihak JKR atau yang membaiki dapat buat dengan sebaik mungkin sebab kita tidak mahu berlaku lagi kejadian cerun runtuh secara mengejut begini,” titah baginda.
Baginda ketika bercemar duli melawat Kampung Orang Asli Sungai Ruil di sini turut bertitah, kos sejumlah RM3.5 juta serta kerja-kerja yang perlu dilakukan diyakini dapat mempercepatkan usaha membaik pulih 16 buah rumah tersebut yang terjejas akibat tanah runtuh pada 12 Oktober tahun lalu.
Dalam pada itu, baginda turut berkenan untuk menyampaikan kurniaan sumbangan kepada 17 buah keluarga yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Kuaters TNB lama yang mana ia menjadi penempatan sementara mereka.
“Saya juga maklum di Cameron Highlands ini selalu berlaku kejadian tanah runtuh terutamanya pada musim tengkujuh. Saya harap keadaan cerun-cerun lain juga perlu diambil kira termasuk cerun di tepi jalan agar keselamatan pengguna jalan raya juga terjaga,” titah baginda lagi.
Mengimbas kembali, pada 12 Oktober tahun lalu, sebanyak 88 orang penduduk daripada 17 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sungai Ruil ekoran daripada kejadian tanah runtuh yang berlaku di perkampungan tersebut.
Menurut pihak JKR pada awal November lalu, kerja membaik pulih cerun yang runtuh itu didapati akan mengambil masa dua tahun yang melibatkan peruntukan lebih RM3 juta dan ia dijangka siap pada November 2025.
Pihak JAKOA turut menanggung sepenuhnya pembayaran sewa kuaters TNB bagi menempatkan 17 keluarga Orang Asli Sungai Ruil yang terjejas yang disewakan pada kadar RM500 sebulan seunit.
Malah, bayaran deposit sewaan selama tiga bulan turut dikecualikan seperti yang terkandung di dalam terma perjanjian sewaan sebelum ini.