Segala Kemampuan Yang Ada, Akan Digunakan Untuk Pertahankan Kalimah Allah – Sayed Amir Muzakkir
Jangan lupa join Telegram, Instagram dan Facebook kami bagi mendapatkan berita terkini
PUTRAJAYA, 17 Mac 2021 – “Saya adalah Hamba Allah, saya juga mengangkat sumpah jawatan atas nama Allah . Lalu tugas dan tanggungjawab yang saya pikul adalah untuk mentauhidkan Allah. Oleh itu segala ruang, kemampuan, kekuatan, kelebihan sama ada melalui kuasa ataupun saluran undang-undang akan digunakan untuk menyelamatkan Kalimah Allah ini.”
“Dan saya yakin dan percaya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin Menteri Dalam Negeri juga mempunyai aspirasi yang sama.”
Demikian menurut catatan Facebook Sayed Amir Muzakkir, Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hamzah Zainuddin.
Beliau membuat catatan tersebut beberapa hari lepas sebagai respons kepada polemik kalimah Allah yang timbul sekali lagi berikutan keputusan kes kalimah Allah yang diputuskan Mahkamah Tinggi baru-baru ini.
”Ada banyak perkara yang menghimpit kita sehari dua ini, terutamanya yang mencalar sensitiviti dan mengguris hati orang-orang Islam, dan saya juga tidak terkecuali turut pedih merasainya,” luah beliau di dalam catatan yang sama.
Dalam catatan tersebut juga, beliau memperingatkan kembali pembentukan kerajaan Perikatan Nasional setahun lalu yang berdiri di atas beberapa asas. Antara asas yang paling utama adalah AGAMA – keutamaan Hifzuddin (menjaga agama) dan Hifzunnafs (menjaga nyawa).
Beliau turut memetik kata-kata Al Imam Saidina Ali r.a. sebagaimana berikut :
الدين أس والسلطان حارس، فمالا أس له فمهدوم، ومالا حارس له فضائع
Yang bererti: Agama adalah asas, kerajaan adalah penjaganya. Sesuatu yang tidak ada asas akan runtuh, sesuatu yang tiada penjaga akan hilang.
“Dengan sedikit sebanyak keterbatasan dan kelebihan yang ada saya ingin sampaikan, kita akan berusaha sebaik-baiknya untuk meletakkan Asas Agama ini di tempatnya.”
“Sama-sama kita pertahankan. Terus bertawakal, berusaha dan berdoa.” Catat Sayed Amir sebagai penutup kepada catatan tersebut.
Untuk rekod, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah pun mengemukakan permohonan rayuan kes kalimah Allah tersebut pada 15 Mac 2021 di mana notis berkenaan difailkan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.