Sedih Nasib Kanak-kanak Tidak Disahkan Islam – PERKASA
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 29 Oktober 2021 – “PERKASA tidak pertikaikan keputusan Mahkamah Rayuan tetapi hanya berasa sedih dengan nasib kanak-kanak yang sudah mengucap dua Kalimah Syahadah, mungkin dah pandai solat, mengaji Al Quran dan berpuasa, tidak disahkan mereka sebagai seorang Islam”, kata Syed Hassan Syed Ali, Setiausaha Agung PERKASA.
Tambah beliau, lebih menyedihkan mereka tidak disahkan sebagai seorang Islam walaupun berada dalam negara yang agamanya Islam, yang Raja-Rajanya Islam, yang pemimpin-pemimpin dalam kerajaan majoriti besarnya Islam.
Ini kerana, keislaman mereka tetap juga boleh ditarik.
“Mungkin itu satu keputusan yang tepat dari Hakim-Hakim yang terikat dengan Undang-Undang dan Perlembagaan Negara”, keluh beliau.
Syed Hassan turut menyatakan kebimbangan kepada pemimpin-pemimpin Islam yang sedang berebut kuasa sehingga boleh menyebabkan hilang fokus dalam mempertahankan juga memPERKASAkan Agama dan Bangsa.
Buktinya, banyak perkara dan tindakan Kerajaan bertentangan dengan Perlembagaan Negara namun, didiamkan sahaja kerana bersangkut dengan kepentingan bangsa dan agama lain.
“Tetapi bila bersangkutan dengan kepentingan Melayu dan Islam, segala terma, ayat dan setiap huruf dalam Perlembagaan Negara diambil kira untuk menyokong keputusan tidak berpihak kepada umat Islam dan Melayu.”
Tambah Setiausaha Agung PERKASA lagi, bukan kuasa politik Melayu tidak kuat lagi tetapi jiwa dan jati diri pemimpin Melayu sebenarnya yang telah hilang dan tidak kuat lagi.
“Mereka bahkan tidak boleh bersama dalam isu Islam dan Melayu. Mereka bodoh berpolitik. Mereka tak berani tunjuk ketegasan isu Islam dan Melayu walaupun mereka majoriti. Mereka tidak mahu bersama dalam hal ini.”
Justeru, PERKASA menggesa semua pemimpin-pemimpin Melayu perlu kembali kepada perjuangan asal. Jangan bertuhankan ketua parti tetapi pegang kepada prinsip perjuangan demi Agama, Bangsa dan Tanahair yang sebenar.
“Sesungguhnya berimanlah bahawa rezeki itu Allah sahaja yang menentukannya, bukan ketua-ketua parti yang tetapkan.”
Semalam, Hakim Mahkamah Rayuan YA Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, YA Datuk Nordin Hassan dan YA Datuk S. Nantha Balan secara sepakat memutuskan pengislaman dua orang anak seorang wanita mualaf sebagai tidak sah dan mereka kekal sebagai Buddha berpandukan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi pada tahun 2018.