Sebar Ajaran Sesat ‘Online’: Jabatan Peguam Negara Teliti Pindaan Kesalahan Jenayah Syariah
PUTRAJAYA, 09 Ogos 2024 – Sebarang penyebaran ajaran sesat akan dikuatkuasa sebagai kesalahan jenayah syariah selepas Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan melaksanakan pindaan rang undang-undang berkaitan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, satu tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan kerana terdapat kekangan undang-undang untuk meneruskan pendakwaan di mahkamah syariah.
Jelas beliau, Jabatan Peguam Negara kini sedang meneliti proses pindaan bagi kesalahan jenayah syariah melalui platform media sosial bagi memastikan penyebaran ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dapat dikekang daripada tersebar kepada orang ramai.
“Penyebaran ajaran sesat di media sosial oleh kumpulan yang berpangkalan di luar negara, tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan hanya boleh diambil bilamana kumpulan tersebut kembali ke Malaysia.”
“Ini kerana undang-undang jenayah syariah terhad kepada bidang kuasa negeri tanpa bidang kuasa extra-territorial (wilayah asingan). Terdapat juga keperluan ajaran tersebut difatwakan sebagai sesat bagi membolehkan tindakan pendakwaan berjalan lancar.”
Lanjutan itu, katanya, tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan boleh diambil terhadap kumpulan ajaran sesat yang aktif menyebarkan fahaman di Wilayah Persekutuan, di mana ia tertakluk di bawah Seksyen 3 hingga 13 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta559).
Setakat ini, terdapat 17 ajaran sesat yang masih aktif dalam radar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) termasuk Millah Abraham, Sihulk, The Ahmadi Religion of Peace and Light, Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) dan Hadi Minallah.