‘Scam’ Bazar Ramadan: CAP Gesa KPDN Ketatkan Penguatkuasaan
PULAU PINANG, 31 MAC 2023 – Makanan yang berkualiti rendah, harga yang tinggi serta amalan kebersihan yang rendah terus menerus membuatkan mereka yang sering berkunjung ke bazar Ramadan merasa tertipu apabila menikmati makanan berbuka puasa yang dibeli.
Pegawai pendidikan senior bagi Persatuan Pengguna Pulau Pinang, N. V. Subarrow menyatakan bahawa faktor utama bagi hal ini terjadi adalah kerana kekurangan penguatkuasaan.
Menurutnya, sewaktu beliau menyatakan kepada Mufti Pulau Pinang untuk memberi tumpuan terhadap isu makanan berkualiti rendah, beliau perasan yang pihak berkuasa tidak mengambil tindakan yang sewajarnya.
BACA JUGA: Isu ‘Ayam Tebuk’: Syarikat Ada Sijil Halal, Tiada Ayam Disembelih Tanpa Ikut Syarak – KPDN
BACA JUGA: Setelah 18 Tahun Larangan, Kini Berlin Benar Guru Muslim Berhijab
BACA JUGA: Tanah Rizab Melayu Berkurang Di 3 Negeri
Dan perkara ini telah menyebabkan para peniaga bazar yang tidak bertanggungjawab mengabaikan amaran-amaran yang telah dikeluarkan.
Menurutnya lagi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) seharusnya membuka reruai di setiap bazar di seluruh negara jika perkara yang sama terus menerus berlaku.
Ujar Subarrow, reruai tersebut dapat memberi peluang kepada para pelanggan untuk membuat laporan mengenai sebarang salah laku yang berlaku di kawasan tersebut dan ianya akan membuat para peniaga menjalankan perniagaan mereka dengan cara yang sepatutnya dan bukan sekadar membuat untung.
Baru-baru ini, beberapa warga maya telah memuat naik di akaun-akaun media sosial mereka berkenaan dengan isu-isu yang menjadi perhatian dan menyebabkan ketidakpuasan hati mereka di bazar Ramadan termasuklah hal berkenaan kenaikan harga dan kualiti barang makanan.