Tempatan

Sayur Bernilai Lebih RM30 Juta Terjejas Akibat Penghapusan Subsidi Diesel

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

CAMERON HIGHLANDS, 04 Julai 2024 – Pengeluaran sayur-sayuran di Cameron Highlands dengan anggaran nilai lebih RM30 juta setiap bulan berisiko terjejas akibat pelaksanaan penyasaran bahan api diesel.

Menurut Setiausaha Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands, Chay Ee Mong berkata, sayur-sayuran segar dengan pengeluaran lebih 30,000 tan metrik di tanah tinggi itu mendapat permintaan 75 peratus pasaran domestik dan 25 peratus ke negara jiran seperti Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Hong Kong.

Ujarnya, hampir 1,000 petani Cameron Highlands menghasilkan sayur-sayuran segar seberat 1,000 tan metrik sehari dengan anggaran lebih RM2 juta bagi memenuhi permintaan tinggi.

Bagaimanapun, ekoran kenaikan harga diesel, para petani terpaksa mengeluarkan modal besar kerana jentera utama seperti penjana kuasa, pam air dan kenderaan pacuan empat roda semuanya menggunakan diesel.

Dalam pada itu, Ee Mong yang juga merupakan Naib Pengerusi Persatuan Pekebun Sayur Kebangsaan turut memaklumkan, lebih 6,000 ahlinya seluruh negara mengeluh dengan penghapusan subsidi diesel.

“Para pekebun di sini tiada pilihan selain meneruskan penanaman sayur-sayuran kerana itulah pekerjaan dan sumber pendapatan mereka turun-temurun,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pekebun India Cameron Highlands, S. Mathan, 44, yang mewakili 400 ahli juga meluahkan rasa terbeban mereka dengan penghapusan subsidi untuk meneruskan aktiviti ekonomi yang menjadi warisan keluarga sekian lama.

“Kawasan kebun yang berbukit-bukit, tiada bekalan elektrik dan kami bergantung sepenuhnya kepada penjana kuasa untuk menyiram, membaja dan membawa kenderaan pacuan empat roda,” luahnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: