Tempatan

Saya Sokong Najib Henti Bayar ‘Sultan Sulu’ – Tun M

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 25 Julai 2022 – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui pernah menyokong keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghentikan bayaran penyerahan wilayah sebanyak RM5,300 setiap tahun kepada waris kesultanan Sulu pada tahun 2013 selepas insiden serangan di Lahad Datu, Sabah.

Lapor Berita Harian, Dr Mahathir menjelaskan, walaupon sokongan diberikan namun Kerajaan ketika itu perlulah mengkaji terlebih dahulu keputusan menghentikan bayaran itu, termasuk mengesahkan pihak yang menyerang Sabah ketika itu memang dari keturunan kesultanan Sulu.

“Saya dengar pada masa itu Najib buat kenyataan dia tidak akan bayar. Pada masa itu, saya cuma sokong dia saja. Dia yang buat keputusan.”

“Tapi, saya diberitahu keputusan itu tidak dirujuk kepada Kabinet dan Dewan Rakyat (pada 2013) dan dia (seolah-oleh) buat keputusan sendiri.”

“Kita yang berjanji untuk bayar setiap tahun jumlah ini, jadi bila kita janji, kita kena tunai janji walaupun atas sebab serangan. Tetapi kita juga tak tahu serangan itu oleh keturunan Sultan Sulu atau orang lain.”

“Jadi kita kena kaji dulu dan lepas itu sahkan yang menyerang itu adalah Kesultanan Sulu. Barulah kita boleh berhenti (bayar). Tapi ini tidak ada kajian, terus henti (bayar) saja,” katanya ditemui selepas hadir menjadi panel pada program Wacana Halatuju Sistem Pendidikan dan Pembelajaran Dalam Talian anjuran PTTI pada hari Ahad lalu.

Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata, susulan tindakan Kerajaan ketika itu menyebabkan pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu terus membuat tuntutan ke atas Sabah di mahkamah timbang tara antarabangsa hingga kini.

“Sebelum ini tidak ada masalah. Tiap-tiap tahun kita bayar. Bila berhenti, maka mereka bawa kes ke mahkamah Sepanyol, tapi kita tidak iktiraf mahkamah di Sepanyol.”

“Sebab dalam membuat hukuman (tuntutan), kedua-dua pihak mesti memberi pendapat dalam mempertahankan kedudukan mereka. Tapi ini dibuat keputusan sebelah pihak sahaja,” katanya.

Menjadikan isu Pulau Batu Puteh sebagai contoh, Dr Mahathir berkata, Malaysia bersetuju dengan pihak yang menuntut supaya isu tuntutan berkenaan dirujuk ke mahkamah.

Sebelum ini, media melaporkan aset dua anak syarikat PETRONAS di Azerbaijan telah dirampas oleh waris Kesultanan Sulu, yang menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia, selepas mereka diberi Final Award melalui penyerahan notis yang dikeluarkan oleh Mahkamah Luxembourg.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menjelaskan Mahkamah Rayuan Paris sudah membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker