Saya Ingin Dibesarkan Dalam Budaya Islam – Bella Hadid
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 23 Ogos 2022 – Supermodel terkenal berdarah Palestin-Belanda Bella Hadid yang berusia 25 tahun berkongsi secara terbuka mengenai keinginannya dibesarkan dalam persekitaran yang mengamalkan ajaran Islam.
Bella dalam satu temu bual bersama majalah GQ memberitahu, selepas kedua ibu bapanya berpisah, beliau bersama kakaknya mahu mengikut bapanya, Mohamed Hadid.
“Sejujurnya saya ingin belajar dan membesar dalam persekitaran budaya Islam. Selepas mereka bercerai sewaktu saya berusia empat tahun, saya dan juga kakak sebenarnya mahu mengikut bapa.”
Apabila semakin meningkat dewasa, Bella Hadid semakin banyak bertemu orang-orang Muslim dan menyedari dirinya lebih selesa untuk bergaul dengan mereka.
“Saya memiliki pemikiran yang sama dengan orang-orang Islam dan lebih mudah menjadi diri sendiri.”
Bella merupakan anak kepada pemaju hartanah Palestin, Mohamed Hadid dan model Belanda, Yolanda Hadid serta seorang adik kepada supermodel, Gigi Hadid. Dia pernah bersuara tentang Palestin dan terus meningkatkan kesedaran tentang rakyat di sana dan keadaan di negara itu, yang telah lama berkonflik Israel.
Sebelum ini, samudera.my turut melaporkan sokongan Bella terhadap Palestin yang tidak akan berbelah bahagi meskipun dia kehilangan kerjaya peragaannya.
Beliau akui kerjayanya terjejas kerana lantang bersuara dan bersolidariti bersama Palestin.
“Banyak syarikat yang berhenti bekerjasama dengan saya. Saya juga dikelilingi kawan yang benar-benar mahu menjatuhkan saya,” katanya setiap kali beliau mengeluarkan kenyataan tentang Palestin, beliau pasti dilabel sebagai seseorang yang bercakap tidak benar.