Saya Bersetuju Dengan Ramasamy Agar Dibenarkan Perarakan Thaipusam – Firdaus Wong Wai Hung
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 10 Disember 2021 – “Saya bersetuju dengan Ramasamy agar dibenarkan perarakan Thaipusam tetapi sediakan Standard Operating Procedure (SOP) khusus untuk mereka yang terlibat,” ujar pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung.
Beliau berkata demikian ketika mengulas lanjut isu mengenai Lembaga Waqaf Hindu Negeri Pulau Pinang (PHEB) yang bertegas mahu mengadakan perarakan pedati berhala sempena sambutan Thaipusam pada 18 Januari depan meskipun mendapat larangan Kerajaan Persekutuan menerusi lisan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berikutan negara sedang berdepan ancaman varian baharu Covid-19, Omicron ketika ini.
Menurut Firdaus Wong Wai Hung, pihak berkenaan perlulah menghadkan jumlah peserta dan pendaftaran semua peserta perarakan berhala, jangan ada tertinggal seorang pun.
Ujarnya, penjarakan sosial ketika berarak perlu dijaga sepenuhnya dan saman harus dikenakan serta-merta apabila melanggar SOP yang ditetapkan.
Jelasnya lagi, kemudian pihak penganjur mestilah membuat jarak perarakan yang munasabah sehingga ke kuil yang tidak mengganggu lalu lintas selain memakai penutup muka dan sentiasa disanitasi.
Tegasnya lagi, selepas tamat perarakan semua peserta perlu dikuarantin mengikut SOP mereka yang pulang dari luar negara atau SOP baharu yang dicadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Termasuklah, pihak penganjur perlu memastikan pematuhan SOP dari awal sehingga selesai dan penganjur serta peserta mestilah dipertanggungjawabkan apabila melanggar SOP,” ujarnya.
Terdahulu, Pengerusi PHEB Profesor Dr P Ramasamy menempelak larangan perarakan berhala semasa Thaipusam sebagai tidak masuk akal dan tidak dapat menerima larangan tersebut.
Selain dapat merasakan ada kemungkinan terdapat permainan politik dalam pengumuman yang dibuat kerajaan berhubung larangan itu, beliau menyatakan akan mengingkari arahan Kerajaan Pusat dan meneruskan dengan perarakan tersebut sekiranya arahan berkenaan tidak ditarik balik.