Saudi Taja Pemulihan Masjid Pusat Islam Jakarta
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
JAKARTA, 17 November 2022 – Arab Saudi bakal menaja kos pemulihan Masjid Pusat Islam di ibu negara Indonesia, Jakarta, selepas mengalami kerosakan akibat kebakaran yang berlaku pada bulan lalu, ujar Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman.
Lapor berita antarabangsa, pengumuman yang dibuat Putera Mahkota mengesahkan minatnya terhadap pusat Islam di semua negara kerana mempunyai peranan penting dalam pendidikan generasi muda dan penyebaran Islam yang toleran sekali gus mesejnya yang berteraskan keamanan, kesederhanaan dan dialog.
Bulan lalu, kubah besar masjid di pusat Islam Jakarta telah runtuh susulan kebakaran besar namun tidak menyebabkan berlakunya sebarang kemalangan jiwa.
Punca kebakaran sedang disiasat tetapi pihak polis mengesyaki ia bermula daripada percikan api yang tercetus apabila pekerja cuba memotong membran kalis air untuk kubah tersebut.
Mengulas lanjut, Pusat Islam ibu kota negara itu meliputi kawasan seluas 109,435 meter persegi dan menyediakan beberapa kemudahan termasuk sebuah masjid yang boleh memuatkan lebih 20,000 jemaah.