SAREX LIMA ’23: Larangan Terbangkan Dron Di Langkawi, Kedah
LANGKAWI, 09 Mei 2023 – Pihak Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) menasihatkan orang ramai agar tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan sepanjang penganjuran Search dan Rescue Exercise (SAREX) Langkawi International Maritime and Aerospace atau LIMA ’23 bermula pada 9 hingga 11 Mei 2023 di Langkawi, Kedah.
Menurut hantaran yang dimuat naik CAAM di laman Facebook rasminya, larangan tersebut adalah bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini terutamanya membabitkan aspek keselamatan.
BACA JUGA: Al-Quran Gergasi Tarik Lebih 10,000 Pelancong Setiap Hari
BACA JUGA: Bayaran Bulanan Meningkat, Kenaikan OPR Tambah Beban Rakyat
BACA JUGA: Kumpulan Aktivis Bantah Cadangan Bina LRT P.Pinang
Ia termasuklah sekuriti orang ramai dan pasukan penyelamat yang sedang melaksanakan latihan SAR di beberapa lokasi utama di sekitar pulau peranginan tersebut.
Bukan itu sahaja, penggunaan dron tanpa kelulusan juga dikhuatiri akan mengganggu pergerakan latihan yang menggunakan aset udara terutamanya helikopter.
Justeru, CAAM mengingatkan bahawa sebarang aktiviti penerbangan termasuklah pengendalian aktiviti dron yang mampu mengundang bahaya pada orang awam atau harta benda adalah tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3); Peraturan 98, Peraturan 140-144, Peraturan Penerbangan Awam dan Civil Aviation Directives (CADs).
Untuk makluman, LIMA ’23 dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 27 Mei ini dengan tema Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia (The Nexus of Asia’s Maritime and Aerospace Trade).
Lebih 600 syarikat yang terdiri daripada industri pertahanan tempatan dan antarabangsa dijangka menyertai acara ini sekali gus bakal menarik kehadiran lebih kurang 50,000 delegasi ke Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).