Tempatan

Sarawak Ungguli Carta, Paling Banyak Tanam Pokok

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 24 Ogos 2024 – Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia yang berjaya menanam sebanyak 35 juta pokok dalam Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2020-2025.

Jumlah itu menjadikan Sarawak berada di tempat pertama berbanding negeri lain sekali gus menunjukkan iltizam Kerajaan Negeri dalam menyokong sifar karbon menjelang 2050.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, kempen itu dilaksanakan dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara dan memulihara kawasan hutan.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen kita untuk mengurangkan kesan perubahan iklim dan memulihkan ekosistem terjejas.”

“Sarawak juga memainkan peranan penting melalui pemeliharaan hutan dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi menyumbang kepada usaha global dalam menangani perubahan iklim melalui Sumbangan Ditentukan Negara (NDC),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Karnival Alam Kita Sarikei 2024.

Menurut beliau, usaha itu juga melibatkan pelbagai sektor termasuk tenaga, pengangkutan dan pertanian.

“Di bawah Perjanjian Paris, kita telah berjanji untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca sebanyak 45 peratus pada tahun 2030 berbanding tahap pada tahun 2005,” katanya.

Tiong Sii berkata, dalam usaha menangani isu perubahan iklim, kerajaan telah menetapkan hala tuju untuk mencapai sifar karbon menjelang tahun 2050 termasuk mengurangkan penggunaan bahan api fosil, meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan mempromosikan teknologi hijau.

“Di Sarawak misalnya, pelbagai inisiatif sedang dijalankan untuk menyokong hala tuju ini, termasuk pembangunan projek tenaga solar dan hidroelektrik serta program pemuliharaan hutan yang lebih agresif.”

“Usaha-usaha ini penting dalam memastikan bahawa kita dapat mencapai sasaran sifar karbon dan mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan lestari,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: