Tempatan

Saranan Rumah Pelacuran Tidak Selesai Masalah – Wan Salim

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

GEORGETOWN, 09 Januari 2023 – Saranan untuk mewujudkan rumah pelacuran bagi warga asing tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya bakal mengundang lebih banyak masalah kepada negara, demikian yang dikatakan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Kenyataan beliau itu adalah bagi mengulas kepada kenyataan seorang pelakon senior yang meluahkan pandangan peribadi apabila bersetuju dengan kewujudan rumah pelacuran di negara ini yang dilihat dapat membantu mengurangkan peningkatan kes jenayah seksual melibatkan warga asing.

Menurut beliau, cadangan yang diutarakan itu adalah sesuatu yang tidak tepat dan ia seperti satu galakan kepada perbuatan maksiat sedangkan kebanyakan pekerja asing adalah beragama Islam.

Malahan, beliau berkata mewujudkan rumah pelacuran juga adalah bertentangan dengan kedudukan Malaysia yang meletakkan agama Islam sebagai agama Persekutuan di dalam Perlembagaan.

Sehubungan itu, tegas beliau, perkara tersebut harus diketahui akan pekerja asing ini sekali gus wajib bagi mereka untuk menghormati Perlembagaan serta undang-undang negara yang membuka ruang kepada mereka untuk mengusahakan mata pencarian.

“Sepatutnya kita sama-sama saling membantu ke arah kebaikan dan keluhuran budi pekerti. Kita juga sepatutnya mengingatkan pekerja-pekerja asing tentang bahaya jika terlibat dalam perlakuan keji ini serta kesan buruknya ke atas semua pihak.

“Siapapun tidak boleh menjamin bahawa rakyat negara ini, termasuk penganut agama Islam tidak akan menjadi pelanggan rumah pelacuran yang dicadangkan itu. Amat sukar untuk mengawal atau mencegah umat Islam daripada ikut terlibat di dalam kancah maksiat tersebut,” tambah beliau.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: